Pemimpin KEADILAN hari ini mengucapkan tahniah di atas kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) semalam.
Bagi Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek, kemenangan Sock Tao adalah sesuatu yang perlu disertai tanggungjawab dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.
"Selamat berkhidmat, YB Pang Sock Tao. Bergelar Yang Berhormat bukanlah suatu keistimewaan atau kemuliaan. Hakikatnya, ia merupakan suatu bebanan dan tanggungjawab.
"Mendoakan yang terbaik buat YB. Selamat menjalankan amanah," katanya dalam catatan di Facebook.
Manakala Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Adam Adli Abdul Halim yang bertungkus lumus berkempen bersama anggota AMK lain di KKB amat gembira dengan kemenangan tersebut.
Beliau secara bersahaja mengucapkan tahniah kepada Sock Tao dan jentera Perpaduan yang bersungguh sungguh sepanjang tempoh berkempen.
"Tahniah Waibi Pang Sock Tao. Tahniah Pakatan Harapan.
"Terima kasih rakyat KKB. Terima kasih jentera Perpaduan," katanya.
Semalam, Sock Tao menang PRK KKB dengan majoriti 3,869 undi dengan memperolehi 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.
Pencabar utama Sock Tao daripada Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.
Dua lagi calon iaitu Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas) masing-masing memperoleh 152 dan 188 undi
Comments