Sektor penerbangan Malaysia menunjukkan pemulihan dan pertumbuhan yang kukuh apabila jumlah trafik penumpang udara pada November lalu mencapai 8.0 juta, peningkatan kukuh sebanyak 15.8% tahun ke tahun (YoY) berbanding 2023.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam kenyataannya berkata angka penumpang bagi November mewakili 88.7% daripada trafik yang direkodkan pada November 2019 iaitu fasa sebelum pandemik, mengekalkan trend pemulihan yang konsisten sepanjang 2024.
Pertumbuhan YoY ini didorong oleh peningkatan perjalanan antarabangsa, pelancaran laluan baharu dan pengembangan kapasiti tempat duduk, katanya.
"Trafik penumpang udara domestik pada November 2024 menyumbang 47.5% daripada jumlah trafik penumpang udara, dengan 3.8 juta penumpang direkodkan.
"Ini mewakili peningkatan sebanyak 10.9 peratus YoY berbanding November 2023, namun, menurun sebanyak 1.6% MoM berbanding Oktober 2024. Trafik penumpang domestik mencapai 83.3% daripada tahap November 2019, mencerminkan pemulihan sektor ini yang stabil," kata kenyataan itu hari ini.
Suruhanjaya itu berkata trafik penumpang udara antarabangsa pula mencatatkan 4.2 juta penumpang pada November 2024, meningkat sebanyak 20.7 peratus YoY dan 0.5% MoM, mencapai 94.1% daripada trafik penumpang antarabangsa yang direkodkan pada November 2019.
"Pertumbuhan ini diagihkan secara seimbang antara wilayah ASEAN dan bukan ASEAN, masing-masing menyumbang 2.1 juta penumpang. Trafik ASEAN mencatatkan peningkatan 13.5% YoY, manakala trafik bukan ASEAN berkembang dengan ketara sebanyak 28.9% YoY," ujarnya.
Dalam pada itu, MAVCOM berkata lapangan terbang utama di Malaysia mencatatkan pertumbuhan YoY yang kukuh pada November 2024 bagi laluan domestik dan antarabangsa dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor mencatat pertumbuhan YoY tertinggi iaitu 42.1 peratus.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatat peningkatan 18.2%, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (13.2%), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru (14.9%), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (8.1%), manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah masing-masing mencatat peningkatan YoY sebanyak 9.7% dan 12.8%.
Tambah kenyataan itu, pengenalan laluan antarabangsa baharu pada November adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan.
Ia termasuk laluan Kuala Lumpur ke Dalat (Vietnam), Nairobi (Kenya), Sri Vijaya Puram (India), dan Chiang Rai (Thailand), serta Kota Kinabalu ke Kaohsiung City (Taiwan) dan Shantou (China).
Pengembangan kapasiti tempat duduk di laluan utama turut menyokong pemulihan sektor ini, dengan trafik antarabangsa terus mengatasi perjalanan domestik.
Comments