Oleh: Akmal Manaf
Industri halal kini mewakili paradigma yang berteraskan nilai etika, kemampanan dan tanggungjawab, selain menjadi pemacu ekonomi yang penting.
Demikian menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Ekonomi Islam dan Halal (ICIHES) kali ke-2 di Johor Bahru, semalam.
Beliau berkata, nilai industri halal global telah melepasi satu trilion dolar, bukan sahaja memenuhi keperluan 1.9 bilion umat Islam di seluruh dunia, tetapi juga menarik pengguna bukan Islam yang mengiktiraf produk halal sebagai simbol kebersihan, kualiti dan keselamatan.
Katanya, pada 2023, perbelanjaan global oleh pengguna Muslim telah terus berkembang dengan kukuh merentas sektor halal utama.
"Ia berikutan perbelanjaan luar biasa sebanyak AS$2.29 trilion pada tahun 2022 untuk produk dan perkhidmatan seperti makanan, farmaseutikal, kosmetik, fesyen, media dan perjalanan.
"Pengembangan yang didorong pengguna ini sejajar dengan pelaburan berterusan dalam syarikat berkaitan halal," ujar beliau.
Sebagai contoh, Dr Zulkifli berkata, pada tahun 2023, untuk sektor makanan halal sudah mencapai anggaran AS$1.4 trilion, manakala perjalanan mesra Muslim dan fesyen sederhana juga menyaksikan peningkatan yang ketara.
Katanya, sektor pelancongan meningkat kepada AS$133 bilion, menandakan peningkatan 17% berbanding 2022, dan perbelanjaan fesyen sederhana mencecah AS$318 bilion.
"Ketika kita melihat ke masa hadapan, matlamat kita adalah jelas iaitu untuk membina ekonomi halal yang berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.
"Kita membayangkan Malaysia bukan sahaja hab halal global tetapi sebagai negara yang memperjuangkan etika Islam, kemampanan dan keterangkuman ekonomi dalam sektor ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga menantikan integrasi kewangan halal dalam industri halal yang lebih luas.
Dalam persidangan itu ujarnya, penyepaduan mempunyai potensi yang sangat besar dan pada masa sama, produk kewangan yang inovatif, seperti dana pelaburan halal dan penyelesaian teknologi kewangan Islam, bersedia untuk menyokong pertumbuhan sektor halal.
Tambah Dr Zulkifli lagi, laluan ke hadapan termasuk dalam langkah penting seperti meningkatkan kualiti produk, menyelaraskan dengan piawaian halal global, dan mengutamakan penyelidikan serta pembangunan.
Turut hadir adalah Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.
Persidangan itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Johor, Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ritsumeikan University, Jepun, Kyoto University, Jepun, Kumpulan Penyelidikan Universiti Ekonomi Halal Ekonomi (KPU Ekonomi Halal).
Turut serta, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), UKM UNIPEQ, dan Agrobank Malaysia.
ICIHES 2024 berperanan sebagai platform penting untuk perbincangan dan pertukaran idea untuk memperkasakan lagi ekonomi halal dan mengukuhkan ummah
Comments