Oleh: Akmal Manaf
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) kekal dengan pendirian untuk terus membuat laporan polis jika terdapat fitnah berkaitan Kerajaan Perpaduan atau pemimpinnya.
Timbalan Pengerusi Sekpur, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, pihaknya hari ini telah membuat dua laporan polis iaitu berhubung isu Pulau Batu Puteh dan fitnah yang dilontarkan oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.
"Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.
"Sekiranya ada unsur-unsur kesalahan jenayah dan hasutan, kita minta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkenaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas.
"Kita tak boleh lagi membiarkan rakyat mempercayai fitnah-fitnah yang boleh merosakkan negara kita," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Turut hadir, Pengerusi Sekpur Mustapa Mansur Amer Mohd Isa dan Naib Pengerusinya Shahbudin Embon.
Ketika ditanya pemberita apa jenis bukti yang diberikan kepada pihak polis dalam laporan itu, Shahbudin berkata pihaknya menunjukkan rakaman video TikTok oleh Papagomo.
Dalam video itu katanya, jelas menunjukkan Papagomo menyebut sesuatu yang tidak baik kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu kata Shahbudin, Papagomo juga telah memfitnah Anwar menerusi TikToknya semalam dengan menyatakan Presiden KEADILAN itu adalah ejen Yahudi.
"Dia (Papagomo) cakap dia hebat. Saya harap MCMC tolong ban TikTok Papagomo dan semua saluran media sosial dia.
"Enough is enough. Kita beri mereka kebebasan bersuara, tetapi dibalas dengan kata-kata yang tidak baik kepada negara sendiri," tempelak beliau.
留言