Oleh: Akmal Manaf
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) telah membuat tiga laporan polis terhadap akaun media sosial berasingan yang memainkan isu 3R (raja, kaum, agama).
Naib Pengerusi Sekpur, Shahbudin Embon hari ini berkata, pihaknya membuat laporan polis mewakili 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah gabungan terbabit.
Katanya, Sekpur telah meneliti satu video yang telah dimuat naik di beberapa akaun Facebook dan mendakwa ianya didapati mempersenda Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
''Apabila diviralkan, saya ingat mereka ini rakyat yang bertamadun dan berakal, tetapi ia mengecewakan saya.
''Mereka menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk makan tengah hari di sebuah restoran yang begitu popular menjual asam pedas di Johor Bahru.
''Saya lihat di dalam hantaran gambar itu, telah digandingkan dengan satu video pendekar bujang lapok (bertujuan mempersenda),'' katanya dalam sidang media berhubung perkara itu di hadapan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Mengulas lebih lanjut, pihak Sekpur katanya mendapati terdapat komen jelik dan berbaur penghinaan dalam hantaran berkenaan.
''Saya tengok selepas itu, banyak komen jelik, penghinaan, hilang budi bahasa dan menghina.
''Jadi cara untuk mengajar mereka adalah dengan akta (bersangkutan) 3R kerana perbuatan ini sudah cukup dalam elemen Akta Hasutan iaitu menghina Raja Melayu dengan perkataan, dengan memberi gambaran dan meletakkan video.
''Mereka (pengguna media sosial) tiga orang ini PDRM pergi cekup dia.... Ini isu 3R melibatkan istana,'' tegas beliau lagi.
Menurut Sekpur laporan polis telah dibuat ke atas pemilik akaun Facebook Shamomar Ramli; pemilik akaun Nori Norli; dan pemilik akaun Aziah Ismail.
Comments