Oleh: Noraini Nordin
(Yang turut bersama dalam Lawatan Rasmi Delegasi KEADILAN ke Republik Rakyat China Sempena Sambutan Ulang Tahun ke 50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China)
WILAYAH SHAANXI: Dalam politik jangan suka melulu-lulu.
Terjah sana terjah sini laksana 'gangstar politik' sehingga terlupa adab sopan demi meraih populariti yang kesannya lebih mengelirukan masyarakat.
Perpatah Cina kuno sudah berpesan 'Orang-orang yang kuat, mencari sesuatu (potensi) dalam dirinya. Sementara orang yang lemah mencari (potensi) pada diri orang lain'.
Dalam mencari hala tuju berpolitik jika keliru eloklah berguru dan jangan malu bertanya apabila sesat di jalanan.
Dari segi politiknya, inilah rumusan awal yang penulis boleh simpulkan setelah melawat Sekolah Politik di China
Dalam mana-mana parti politik di dunia ini, perkara paling penting yang menjadi keutamaan ialah disiplin dan kesetiaan. Itulah kata kunci atau rahsia kejayaan parti yang mampu bertahan zaman berzaman
Parti boleh hilang kuasa
Parti tidak mungkin berjaya atau jika sedang berkuasa, pasti boleh hilang kuasa seandainya disiplin dan kesetiaan yang utuh gagal dibentuk dalam kalangan ahli-ahlinya.
Sebab itu, bagi memastikan kelangsungan perjuangan mewujudkan sekolah politik adalah perkara yang amat perlu bagi semua parti di dunia ini.
Parti KEADILAN juga tidak terkecuali daripada keperluan ini iaitu memiliki Sekolah Politik sendiri yang mempunyai misi dan visi yang jelas.
Sekolah Politik KEADILAN ini mesti menerapkan nilai-nilai MADANI yang moden dan sasarannya adalah untuk pemantapan organisasi.
Sebagai permulaan biro-biro latihan KEADILAN wajar diberi mandat untuk melaksanakan program latihan secara menyeluruh.
Walaupun KEADILAN telah mempunyai sekolah politiknya namun ia perlu diperkasa serta dimantapkan lagi dengan modul-modul baharu yang mampu melahirkan pemimpin yang berdedikasi, setia, disiplin dan komited dengan amanah yang digalas.
Latihan-latihan politik untuk KEADILAN selama ini telah dilakukan dalam pelbagai bentuk dan jenama, rasmi dan tidak rasmi, tetapi matlamatnya tetap satu - mengukuhkan disiplin dan kesetiaan kepada perjuangan parti.
Reformasi tidak mati
Keperluan sebuah Sekolah Politik tidak boleh ditangguhkan lagi demi memastikan perjuangan berterusan dan reformasi tidak mati.
Semangat perjuangan tidak akan bertahan lama sekiranya ahli parti terkapai-kapai dan tandus ilmu.
Dalam lawatan ke China yang diketuai oleh Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar delegasi parti ini berpeluang melawat sekolah politik yang popular di Wilayah Shaanxi.
Di China, sekolah-sekolah politik wajib mematuhi piawaian serta ada KPInya tersendiri.
Sekolah politik diwujudkan di setiap cabang dan ranting untuk proses reformasi dan mencungkil bakat dengan menerapkan nilai-nilai murni yang mendahulukan rakyat serta membina kekuatan parti.
Sekolah latihan politik itu berperanan memupuk bakat dari segi rohani dan jasmani, di samping memastikan semua ahli parti faham dan mempraktikkan amanat pucuk pimpinan.
Sekolah latihan politik tersebut juga bertujuan untuk membantu ahli parti daripada segi inovasi saintifik, kemahiran teknologi dan pendigitalan ekonomi yakni e-dagang dalam mengharungi cabaran kehidupan yang pantas berubah.
Dalam konteks Wilayah Shaanxi, setiap lapisan pemimpin parti dari pegawai bawahan hinggalah ke Datuk Bandar diwajibkan menjalani proses latihan yang amat ketat supaya kualiti kepimpinan mereka sentiasa terjaga.
Sistem demerit
Mereka juga memperkenalkan sistem demerit - iaitu ahli yang tidak hadir ke latihan atau mesyuarat akan ditolak markah dan akhirnya digugurkan daripada senarai ahli kepimpinan di mana peringkat mereka berada.
Dengan cara itu, ia mampu memperkasakan kualiti barisan pimpinan termasuk pemimpin pelapis dengan sistem denda-ganjaran agar mereka sentiasa menjaga disiplin.
Meskipun sistem politik China dengan Malaysia adalah berbeza, malah kedudukan parti yang berkuasa di sana juga tidak sama dengan KEADILAN yang menerajui kerajaan di sini, tetapi daripada segi bagaimana mereka menerap dan mengukuhkan disiplin ahli-ahli parti, selain boleh dipuji, barangkali tidak menjadi kesalahan untuk kita belajar daripada mereka.
Perkara yang baik dan bermanfaat, tidak kira daripada sistem politik apa sekali pun, wajar untuk kita belajar daripadanya, namun sudah tentulah perlukan beberapa penyesuaian agar selari dengan sistem politik yang kita amalkan.
_________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
コメント