
Oleh : Hasbul Ahmad
Sikap tidak berperikemanusiaan sindiket penipuan atas talian amat membimbangkan apabila banyak warga emas dan pesara kerajaan menjadi mangsa penipuan yang mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Setiausaha Penerangan KEADILAN Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga menjejaskan keselamatan kewangan rakyat Malaysia.

"Saya rasa perkara ni tak pernah selesai. Maksudnya masih lagi berlaku walaupun dah masuk tahun 2025, masih lagi orang kena scam dengan penipuan, duit habis beratus ribu. Masih tak berkesudahan.
"Sedih baca berita warga emas, pesara kerajaan kena scam ratusan ribu ringgit. Perkara ini kena dinoktahkan," kata Edy ketika ditemui.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan, bagi lapan bulan pertama pada tahun 2024, sebanyak 21,535 laporan berkait penipuan dalam talian dilaporkan.
Daripada jumlah itu, 1,916 mangsa atau 8.9 peratus adalah terdiri daripada warga emas dengan kerugian melibatkan lebih RM255,000 atau bersamaan dengan 27.9 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dicatatkan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Penerbitan Statistik Jenayah Malaysia 2024 mengekelaskan enam kategori jenayah dalam talian iaitu telekomunikasi, e-Kewangan, love scam, e-Dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.
Manakala statistik jenayah dalam talian sepanjang 2023 lalu melaporkan bilangan kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia meningkat 35.5 peratus, iaitu 34,532 kes berbanding 25,479 kes pada 2022.
"Jadi langkah untuk mengawal media sosial dan menyelamatkan kewangan warga emas kita melalui pelesenan (platform media sosial) itu adalah wajar.
"Kerajaan bukannya hendak mengekang kebebasan tetapi untuk memastikan urusniaga dalam talian ini lebih selamat.
"Selain daripada memberi jaminan, langkah ini turut dapat memberi keyakinan kepada sistem urusan perniagaan dalam talian di Malaysia," kata lagi.
Comentários