Kerajaan MADANI bersedia menyalurkan peruntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang mahu menganjurkan aktiviti pembersihan dan keceriaan di Wilayah Persekutuan.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa kepada pemberita selepas melancarkan program Bersih Semua Tempat (BeST) secara serentak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di Kuala Lumpur pada Ahad.
"Kita memang ada peruntukan di peringkat Wilayah Persekutuan. Jadi kita mahu lakukan ini di peringkat komuniti dan kalau ada NGO yang berminat bekerjasama dengan kita selaku rakan strategik, kita ada sediakan bajet untuk menggalakkan mereka melaksanakannya di peringkat komuniti," katanya.
Menurut Dr Zaliha, inisitif BeST bertujuan mendorong pembudayaan persekitaran bersih dalam kehidupan seharian masyarakat di Wilayah Persekutuan.
Pelaksanaan program itu selari usaha mewujudkan Wilayah Persekutuan sebagai bandar bersih dan mampan sekali gus membina imej negara yang positif bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Terdahulu, pada acara itu beliau turut melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang akan disambut pada 1 Feb.
Sementara itu Dr Zaliha menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 akan dimeriahkan dengan lebih 60 program menarik sepanjang bulan Februari.
Mengangkat tema ‘Wilayah Persekutuan Kita’, ia menzahirkan semangat bahawa Wilayah Persekutuan adalah milik bersama dan menyeru semua pihak untuk memainkan peranan dalam menjaga dan memajukan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan demi kesejahteraan semua.
Commenti