Kegigihan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menyelesaikan segera krisis kemanusiaan di Gaza, Palestin jelas terpapar melalui usahanya menghubungi Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian dan ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim lewat petang Isnin.
Menurut Anwar, beliau membicarakan mengenai usaha untuk merealisasikan gencatan senjata dan perdamaian berpanjangan di Gaza selepas bercakap dengan pemimpin Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani sebelumnya.
"Saya menyatakan sokongan penuh kerajaan Malaysia terhadap usaha tersebut yang sewajarnya dipelopori oleh negara-negara penting termasuk Turkiye, Qatar dan Iran.
"Ini termasuk cadangan Turkiye untuk menghimpunkan pimpinan dunia Islam menerusi sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyelaras gerakan dan mengenakan tekanan lebih hebat terhadap Amerika Syarikat serta sekutunya, supaya mendesak rejim Zionis Israel segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza.
"Alhamdulillah, Kerajaan Iran dan Hamas senada dan menyokong inisiatif ini, termasuk cadangan menjemput negara bukan Islam yang turut mendukung keadilan dan memperjuangkan hak kemanusiaan buat rakyat Palestin seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland dan Portugal," katanya dalam catatan di Facebook.
Dalam perbincangan petang itu, menurut Anwar, ketiga tiga mereka berkongsi pendirian sama iaitu usaha mewujudkan perdamaian di Asia Barat perlu bermula dengan rejim Israel menghentikan sepenuhnya serangan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Comments