
Oleh: Abdullah Zaid
Sebanyak 373,000 naskhah al-Quran terjemahan telah dicetak meliputi tujuh bahasa bagi menyebarkan keindahan agama Islam dan menangani Islamophobia dalam kalangan bukan Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha murni itu telah diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan insiden membakar naskah al-Quran di Sweden pada Januari 2023.
Sejak itu, katanya, usaha penterjemahan al Quran dan pengedarannya ke luar negara telah digerakkan dalam skala besar.
"373,000 naskhah al-Quran terjemahan telah dicetak meliputi tujuh bahasa termasuk Bahasa Inggeris (247,000 naskhah), Bahasa Sepanyol Latin (40,000 naskhah), Bahasa Mandarin - 21,000 (naskhah), Bahasa Khmer (5,000 naskhah), Bahasa Hindi (20,000 naskhah), Bahasa Nigeria (20,000 naskhah), Bahasa Tagalog (20,000 naskhah).
"Selain itu, 3,000 naskhah terjemahan al-Quran juga telah diedarkan ke Selatan Thailand," katanya di Dewan Negara.
Jelas beliau, pelaksanaan kempen berkenaan diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Restu bagi tujuan pembikinan dan pengedaran al-Quran.
Menurut Zulkifli, JAKIM juga berperanan mengedar al-Quran ke duta-duta luar negara termasuk Ireland dan Belgium melalui Kementerian Luar Negeri manakala Yayasan Restu melakukannya melalui badan bukan kerajaan (NGO) di negara yang terlibat.
"Kerajaan juga dalam usaha menterjemahkan al-Quran kepada bahasa lain secara berfasa seperti Swedish, Danish, Perancis, Jerman, Jepun, Korea, Thai, Swahili, Rusia, termasuk bahasa-bahasa etnik tempatan seperti Dusun, Iban, Kadazan, Melanau," ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris mengenai perkembangan jumlah terkini Kempen Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran susulan insiden penghinaan agama Islam di Sweden beberapa tahun lalu.
Bình luận