
Oleh: Akmal Manaf
Naib Ketua Wanita KEADILAN, Sangetha Jayakumar hari ini meluahkan rasa tidak bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan bekas pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S Ambiga berkaitan pemansuhan sayap wanita dalam parti politik.
Beliau menyifatkan, sayap wanita memainkan peranan penting seperti mempersiapkan golongan itu dengan persekitaran yang teratur, menyesuaikan diri sekali gus mengembangkan kemahiran kepimpinan sebelum melangkah ke dalam arena politik negara.
"Mereka (sayap wanita) berfungsi sebagai batu loncatan yang penting, melengkapkan wanita dengan keyakinan, rangkaian dan pengalaman yang diperlukan untuk mengemudi landskap politik yang didominasi golongan lelaki.
"Daripada menyingkirkan mereka, kita sepatutnya memperkukuh platform ini bagi memastikan ia berfungsi sebagai 'laluan tulen' untuk wanita melangkah ke peringkat kepimpinan tertinggi.
"Jika sayap wanita dalam sesetengah parti tidak berkesan, maka penyelesaiannya adalah dengan melakukan pembaharuan dan memperkasakan mereka, bukannya menghapuskan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, Wanita KEADILAN telah lama memperjuangkan program bagi memperkasakan golongan tersebut dalam kepimpinan politik.
Katanya, Program Run-2-Win adalah contoh utama terhadap komitmen berkenaan dan inisiatif tersebut direka bertujuan melengkapkan wanita dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan seperti menguruskan pilihanraya, membangunkan strategi kempen, dan seterusnya melangkah ke hadapan sebagai calon.
"Run-2-Win berfungsi sebagai medan latihan penting dengan memastikan lebih ramai wanita bukan sahaja terlibat dalam pengurusan pilihan raya, tetapi bersedia untuk bertanding dan memenangi kerusi.
"Memperkukuh program sebegitu, dan bukannya menghapuskan sayap wanita, adalah langkah proaktif demi memastikan perwakilan wanita yang lebih hebat dapat dilahirkan dalam pentas politik.
"Sekiranya kita mahukan lebih ramai wanita terlibat dalam posisi pembuat keputusan, kita mesti mengatasi halangan sebenar dan memastikan golongan wanita mendapat sokongan yang diperlukan untuk memimpin.
"Bukannya 'mencampak' mereka ke dasar dan mengharapkan untuk berenang," ujarnya lagi.
Semalam bercakap pada forum awam anjuran NGO Mandiri, Ambiga berkata kewujudan sayap berasingan untuk wanita hanya mengukuhkan penguasaan lelaki dalam kepimpinan parti.
Katanya, dengan kewujudan sayap wanita maka ianya mengekalkan keutamaan lelaki dalam memerintah. Manakala wanita mungkin hanya akan bercakap tentang keluarga dan hal remeh.
Menurut beliau, struktur sedemikian tidak menyediakan wanita dengan kedudukan yang sama dalam politik sambil memuji parti Muda kerana tidak mempunyai sayap wanita. Hal itu, katanya, mencerminkan komitmen parti berkenaan untuk melayan wanita sebagai sama rata.
Ambiga juga menegaskan bahawa wanita masih kurang diwakili dalam politik Malaysia, memegang kurang daripada 15% daripada 222 kerusi parlimen.
Comments