top of page

"Saya bukan Robin Hood, sasarkan subsidi untuk orang miskin" - Anwar



Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak label yang dilemparkan terhadapnya dirinya sebagai 'Robin Hood' iaitu perbuatan mengambil harta daripada orang kaya untuk diagihkan kepada golongan miskin.


Perdana Menteri menjelaskan, tindakan yang dilakukan kerajaan sekarang adalah menarik balik subsidi pukalnya sebelum ini turut dinikmati golongan kaya dengan melakukan penyasaran bagi membolehkan penjimatan daripada itu disalurkan kepada golongan miskin.


Beliau berkata dasar itu bertujuan memastikan pengagihan subsidi dilakukan dengan lebih adil dengan mengambil kira pendapatan individu.


"Kita tidak mahu mencukaikan orang ramai. Jadi kita kenakan cukai yang sedikit dan kita tarik subsidi daripada orang kaya. Itu dilihat falsafah ekonomi Robin Hood iaitu ambil daripada yang kaya dan bagi kepada orang miskin. Ia bukan Robin Hood. Ia tarik subsidi sahaja (daripada orang kaya).


"Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia ini yang mempunyai subsidi tertinggi dan kadar cukai rendah. Jadi kita berikan subsidi kepada semua orang. Boleh anda bayangkan elektrik sebelum kita laksanakan program rasionalisasi subsidi. Orang kaya di negara ini dapat subsidi.


"Mereka ada 10, 15 pendingin hawa di rumahnya. Maksud saya ini tidak adil. Adakah kita kenakan cukai tambahan? Tidak. Saya cuma kata anda bayar kos harga dan jangan terima subsidi. Bagi saya ia adil," katanya dalam program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur hari ini.


Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Lembaga UPNM, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan Naib Canselor, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya kerajaan mahu menjaga golongan miskin, negara memerlukan sumber dana yang mencukupi.


"Kita mewarisi hutang sehingga RM1.5 trilion dan kita tidak mahu cukai rakyat. Cuma kita cukai sedikit terhadap golongan maha kaya," katanya.


Beliau berkata Malaysia antara negara memberikan subsidi tertinggi dan sistem percukaian terendah di dunia.


“Bayangkan, ada golongan terkaya di negara ini, di mana polisi kita sebelum ini mereka dapat subsidi elektrik dari kerajaan.


“Kerajaan cuma mahu mereka bayar harga kos, bagi saya itu adil. Jika ada pihak yang nak jadikan isu politik, tidak adil dan tidak munasabah, itu kerana melibatkan perniagaan mereka,” katanya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page