Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Di sebalik kesibukan menjalinkan hubungan dengan pemimpin-pemimpin antarabangsa serta melobi syarikat-syarikat gergasi asing melabur di Malaysia, Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lupa kepada komuniti luar bandar khasnya di desa-desa.
Hal itu terbukti apabila beliau melawat kampung kelahirannya di Cheruk Tok Kun, pada 5 Mei lalu. Dalam pertemuan bersama pemimpin peringkat tempatan Anwar menyarankan 'Model Cheruk Tok Kun' yang mana sebuah kampung dijadikan anak angkat kepada Menteri, pegawai tinggi kerajaan atau individu berkedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilaksanakan ke seluruh negara.
Cadangan pemimpin tinggi menjaga sebuah kampung itu adalah pendekatan yang amat terpuji.
Sejak merdeka, inilah pertama kali saranan seperti itu dikemukakan dan menyerlahkan kecintaan seorang ketua kerajaan untuk melihat kampung-kampung di negara ini terus mendapat perhatian serta pembelaan yang sewajarnya.
Bawa cadangan ke mesyuarat kabinet
Apa yang lebih mengggembirakan, Anwar akan membawa saranan itu kepada mesyuarat kabinet Rabu ini.
Menurut Anwar, saranan agar setiap pemimpin menjaga sebuah kampung adalah untuk mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi rakyat di semua kampung di negara ini.
Katanya, cadangan itu akan melibatkan semua pemimpin - pemimpin politik dalam kerajaan, anggota Kabinet, penjawat awam kanan dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Ia akan dimulakan di Cherok Tok Kun di mana saya akan jaga Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam.
"Bagaimana saya jaga…saya akan panggil semua wakil masyarakat di kampung itu dan dia kena bagi tahu semua masalah yang ada di situ.
"(Contoh beritahu) ada yang menganggur, ada yang tercicir, miskin tegar, ada yang rumah dia robek, kemudian ada masalah dadah, masalah jenayah, perlukan TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) dan semua itu dibincang oleh orang kampung dan beritahu secara langsung kepada orang yang bertanggungjawab," katanya.
Mudah agih peruntukan kerajaan
Tegas Anwar, cadangan berkenaan merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi di kampung-kampung selain pegawai daerah dan kerajaan tempatan terus menjalankan tugas serta tanggungjawab sedia ada mereka.
Beliau yakin cadangan pertama kali itu akan memudahkan penyelarasan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama ketua atau wakil kampung.
Tambahnya, cadangan setiap pemimpin menjaga satu kampung itu juga akan membuahkan hasil kerana ia akan melibatkan semua menteri, pimpinan tertinggi kerajaan dan GLC dalam mendengar masalah yang dihadapi masyarakat kampung di bawah jagaan mereka.
"Kalau kita ada KSN (Ketua Setiausaha Negara), setiausaha kerajaan negeri, semua ini kalau kita kumpul ada 2,000 orang yang jawatan-jawatan tinggi dan kemudian kita jemput pula syarikat-syarikat.
"Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, pengarah eksekutif Petronas misalnya, mereka jaga kampung dia.
"Dia pergi situ bukan sebagai Tan Sri, dia pergi sebagai anak kampung dengar masalah orang kampung. Jadi lebih senang nak selesaikan masalah," jelas Anwar mengenai saranannya itu.
Dengan apa yang mahu dilaksanakan Perdana Menteri ini, sementara negara terus dipastikan berkembang maju dengan pelaburan asing mencurah-curah memakmurkan negara, kehidupan orang kampung kelak akan lebih terpelihara dan dibangunkan agar seiring dengan kemajuan semasa.
______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments