Saringan dan pemeriksaan ke atas kanak kanak yang diselamatkan dari kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan dilakukan melalui Bengkel Taskforce Pemulihan Anak -Anak di Negeri Selangor yang berlangsung pada 17 Oktober - 18 Oktober lalu amat memuaskan.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, hasil daripada bengkel tersebut, satu pasukan khas telah dibentuk untuk melakukan saringan dan pemeriksaan terperinci bagi menilai tahap kesihatan fizikal, mental, emosi serta keparahan pegangan akidah anak-anak berkenaan kepada ideologi GISBH.
"Rumusan awal (kajian) akan dibentangkan kepada saya pada pertengahan bulan November ini supaya silibus pemulihan yang sedia ada dapat disesuaikan mengikut tahap pemulihan yang diperlukan oleh anak-anak ini mengikut umur mereka.
"Kerajaan Negeri Selangor akan turut berhubung dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk berkerjasama dalam pengurusan anak-anak GISBH dari Selangor yang ditempatkan di rumah perlindungan di sana," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau yang juga Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama dan bantuan daripada pelbagai pihak sama ada dari segi tenaga pakar atau kewangan untuk sama-sama memulihkan anak anak terbabit.
"Saya yakin mereka berpotensi untuk menjadi aset negeri Selangor yang baik sekiranya diberikan pendidikan dan penjagaan yang sewajarnya," kata Dr Fahmi lagi.
Comments