Sikap Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempertikaikan kepimpinan Selangor diterajui oleh individu tidak berasal daripada negeri itu dalam satu majlis baru baru ini menunjukkan kecetekkan pemikiran MB berkenaan.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Ampang, Shahrom Hassan, asal usul tidak boleh dijadikan sandaran kepada kualiti dan kecekapan mentadbir.
Beliau berkata, seharusnya Sanusi dari parti Islam memahami terlebih dahulu ayat 247, surah al-Baqarah yang menjelaskan kepimpinan tidak ditetapkan berdasarkan kaum atau warisan.
"Syeikh Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan ayat Quran tersebut menjelaskan kepimpinan bukanlah berdasarkan pewarisan, kekayaan atau kemestian anak jati suatu kawasan. Tetapi dipilih berasaskan kompeten, kecekapan, ilmu pengetahuan, dan keperibadian yang utuh.
"Sehingga kini, kepimpinan di negeri Selangor yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memenuhi kriteria itu. Beliau telah mengambil berbagai inisiatif pro-rakyat, termasuk dalam memperbaiki sistem kesihatan, infrastruktur, pendidikan, dan lain-lain.
"Beliau juga telah memberi tumpuan kepada isu-isu lingkungan dan pembangunan lestari untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Shahrom berpendapat lebih baik Sanusi melakukan dua perkara penting untuk memperbaiki prestasinya yang sedang dipertikaikan.
Katanya, pertama Sanusi tidak perlu mencampuri urusan kepimpinan negeri lain dan kedua, memberikan tumpuan menangani isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh negeri Kedah dengan memberikan keutamaan ke arah peningkatan kesejahteraan dan taraf hidup rakyat .
"Beliau harus mengambil langkah konkrit untuk memperbaiki ekonomi, infrastruktur, kesihatan, pendidikan, dan kesejahteraan sosial negeri, berbanding memberi kenyataan yang hanya menimbulkan perpecahan dan tidak berasas.
"Sememangnya adalah mencabar untuk memilih pemimpin yang berwibawa namun adalah lagi sukar untuk menghadapi pemimpin yang bermuka-muka tetapi melakukan onar di sebalik topeng agama atau bangsanya," kata Shahrom lagi.
Bagi rakyat Selangor yang akan memilih kerajaan untuk 5 tahun akan datang pula, beliau menasihatkan agar memilih pemimpin yang berkualiti, memiliki kompetensi dan kemampuan untuk memajukan negeri.
Rakyat Selangor kata Shahrom tidak perlu terikat dengan pandangan politik agama sempit dan menumpukan aspek kesejahteraan rakyat.
Semalam, Sanusi semasa berucapa di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Negeri Selangor berkata calon MB yang berasal dari negeri Selangor akan lebih memahami latar belakang dan budaya di negeri itu berbanding calon dari negeri lain.
Sindiran itu dipercayai ditujukan kepada MB Kerajaan Pakatan Harapan ketika ini Datuk Seri Amiruddin Shari yang berasal dari Johor.
Comments