Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan jangan menambah beban kepada pentadbirannya dengan meminta kuasa mengurus tanaman dan industri padi diserah kepada Kerajaan Negeri.
Bagi Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Dr Ismail Salleh, MB Sanusi sebaik baiknya menyelesaikan masalah melibatkan projek Loji Rawatan Air (LRA) yang berada di bawah bidang kuasa negeri.
Sebaliknya, kata beliau, masalah bekalan beras putih tempatan perlu terus digalas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tanpa diganggu mana-mana pihak.
"Masalah dalam negeri seperti Loji Rawatan Air (LRA) pun tak selesai, sekarang nak ambil kesempatan kata nak pegang (urus) hal padi dan beras pula… lagilah susah nak selesai.
"Kita ada bidang kuasa masing-masing, kalau beliau nak sangat jaga beras… nanti pilihanraya bertandinglah di Persekutuan,” katanya dipetik.
Jumaat lalu, Sanusi menggesa supaya kuasa menguruskan tanaman dan industri padi diberikan kepada kepada Kerajaan Negeri dalam usaha menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan.
Menurut Ismail, KPKM sedang mencari penyelesaian masalah terbabit dengan meneliti keseluruhan rantaian bermula dari penanaman padi sehingga penjualan beras.
Katanya, satu pemukiman akan diadakan dalam masa terdekat untuk melaksanakan perubahan jangka pendek dan panjang.
Tambah Ismail, MADA pada pemukiman itu akan mencadangkan harga beras tempatan ditetapkan kerajaan mengikut kadar pasaran, bukan lagi oleh kilang padi tertentu.
"Selepas pemukiman itu, KPKM akan bentangkan kertas kerja untuk dibawa perhatian dan kelulusan Jemaah Menteri.
"Ini termasuk penetapan harga baharu padi, beras dan benih padi. Kita kena tengok ketiga-tiga aspek ini, tak boleh nak tengok satu-satu kerana semua saling berkait. Baru boleh selesai isu padi dan beras," katanya yang turut mencadangkan kelompongan Akta 522 atau Akta Kawalan Padi dan Beras diteliti.
Katanya, terdapat kelemahan pada akta itu yang tidak menjelaskan kesalahan campuran beras dan penukaran kampit. Oleh itu sebarang kesalahan yang dilakukan tidak dapat dipastikan seksyen mana paling tepat untuk didakwa di mahkamah.
Comments