
Sambutan Hari Kebangsaan pertama dalam era pemerintahan Kerajaan Perpaduan hari ini berjaya dengan gilang gemilang disertai 17,000 peserta yang mengambil bahagian dalam acara perbarisan.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, Ahmad Fahmi Fadzil, usaha bersungguh sungguh semua pihak pagi tadi dalam menjayakan persembahan amat membanggakan dan diucapkan syabas.
"Saya merakamkan penghargaan buat seluruh pasukan yang terlibat menjayakan sambutan hari ini.
"Saya yakin 17,000 peserta yang menyertai acara perbarisan cukup gembira apabila persembahan mereka ditonton oleh lebih 100,000 pengunjung di Dataran Putrajaya.
"Saya dimaklumkan, pengunjung telah mula tunggu seawal 7 malam semalam. Luar biasa," katanya.

Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga terharu apabila Yang di-Peruan Agong mencemar duli bertemu rakyat di luar aturcara untuk bertanya khabar.
"Detik paling menarik tadi apabila KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sepatutnya dijadualkan pulang, namun Tuanku memilih untuk mencemar duli turun bertemu dan beramah mesra dengan rakyat," katanya.

Beliau berharap kemeriahan dan keceriaan sama akan dikekalkan 16 hari daripada sekarang untuk rakyat Malaysia sekali lagi menyambut detik bersejarah Hari Malaysia.
"Sambutan hari ini telah tamat, tapi kita masih ada lagi beberapa acara lain. Selepas ini, kita ada Kembara Kenali Borneo dan diakhiri dengan Sambutan Hari Malaysia.
Kepada semua rakyat Malaysia, teruskan kibar Jalur Gemilang. Malaysia milik kita semua," katanya lagi.
Comments