
Keberanian doktor mata Allahyarham Datuk Dr Ahmad Shukri Mohamed yang merawat Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan kebenaran di hadapan Suruhanjaya Diraja Mengenai Kecederaan Datuk Seri Anwar pada 1998 lalu diingati penyokong reformasi dengan penuh kebanggaan sehingga hari ini.
Bagi kartunis reformasi terkenal Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar, beliau menyanjung keberanian Allahyarham kerana sedikit sekali manusia pada waktu itu yang berani berhadapan kekejaman rejim Tun Mahathir Mohamad.
"Semalam (25 Dis) saya menerima khabar bahawa Datuk Dr Ahmad Shukri Mohamed telah meninggal dunia.
"Kenapa saya terpanggil untuk menulis catatan ini? Dr Ahmad Shukri ialah doktor mata. Dialah yang merawat mata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dipukul dalam lokap Bukit Aman oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor pada September 1998.

"Dalam kejadian itu, Anwar ditumbuk, ditampar, dikarate sebanyak tujuh kali dalam keadaan tangan bergari ke belakang dan mata tertutup.
"Selepas itu Anwar pengsan selama 20 jam dan dibiarkan terkapar di lokap Bukti Aman selama lima hari tanpa rawatan perubatan," kata Zunar di Facebook beliau memetik kembali Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan pada April 1999.
Menurut Zunar, penyokong reformasi pada waktu itu amat terhutang budi kepada keberanian Dr Ahmad kerana beliau tidak gentar ditamatkan jawatan atau menghadapi nasib lebih buruk kerana memberitahu hal sebenar melibatkan tindakan Ketua Polis Negara membelasah Anwar dilokap.
"Ketika itu kezaliman penguasa pimpinan Dr Mahathir sangat memuncak dengan menyebabkan orang menjadi takut. Kuala Lumpur dikuasai FRU dan polis.
"Beratus ditangkap dan dimasukkan ke lokap termasuk tahanan tanpa bicara di bawah ISA. Tetapi Dr Ahmad Shukri tampil merawat mata Anwar. Kerana itu, saya memberikan salute kepada Dr Ahmad Shukri. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang saleh," kata Zunar lagi.
Laporan suruhanjaya pada 1999 itu mengubah persepsi dunia yang sebelumnya diberitahu bahawa pendakwaan ke atas Anwar mengikut prosidur undang undang berasaskan tuduhan jenayah korupsi dan liwat.
Persepsi yang ditanam kerajaan memburuk burukkan Anwar turut gagal, sebaliknya rakyat berpendapat tidak mungkin beliau mendapat perbicaraan adil selepas dibelasah polis ketika ditahan.
Simbol mata kemudiannya digunakan sebagai logo rasmi Parti Keadilan Nasional (KeADILan) yang ditubuhkan pada April 1999.
Tragedi itu juga menyebabkan peralihan besar undi popular Melayu pada Pilihan Raya Umum 29 November 1999, menyaksikan 60% sokongan Melayu pergi kepada Barisan Alternatif yang dianggotai KeADILan, Pas dan DAP pada waktu itu.
Comentários