
Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Jangan ada lagi secara semberono cuba `membuli’ Fadhlina Sidek berkaitan isu "nak balik awal bulan puasa" kerana semakin ramai yang bangkit mempertahankan Ketua Wanita KEADILAN Pusat itu dan membidas semula mereka yang sengaja menyalahtafsirkan isu tersebut.
Antara yang bangkit mempertahankan Menteri Pendidikan ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan exconya dengan menegaskan pembangkang sengaja mempermainkan isu berkenaan.
Beberapa hari lalu apabila viral video pendek tentang jawapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai waktu pulang bagi pelajar sesi petang pada bulan Ramadan, ramai yang terlihat ghairah untuk mengecam beliau.
Ini berikutan respon beliau itu dianggap tidak peka kepada pelajar Islam sesi petang untuk berbuka puasa bersama keluarga masing-masing.
Menjawab pertanyaan tentang waktu pulang persekolahan sesi petang di bulan Ramadan, Fadhlina dilihat menjawab, “Nak balik awal buat apa, bukan boleh berbuka puasa awal pun?”
Jawapan berseloroh
Pertamanya, jawapan Fadhlina ketika itu adalah dalam keadaan berseloroh dan sama sekali tidak bermaksud untuk tidak prihatin kepada pelajar sesi petang.

Hakikatnya, Fadhlina memang sedia maklum tentang pekeliling sedia ada (sejak tahun 2022) bahawa sesi petang sekolah di Semenanjung tamat lebih awal (jam 5:30 petang) dan di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) pada jam 5:00 petang.
Ertinya, jawapan berseloroh beliau itu tiada apa-apa kesalahan dan mereka yang tahu kewujudan pekeliling sedia ada itu pasti dapat memahaminya, melainkan bagi mereka yang sakit hati dan sentiasa ingin mencari isu untuk dimainkan.
Yang keduanya, untuk memahami maksud sebenar jawapan Fadhlina mengenai isu berkenaan, ia harus dilihat melalui keseluruhan temubual itu.
Mereka yang melihat keseluruhan jawapan beliau itu dengan mudah akan faham bahawa jawapan Fadhlina adalah sentiasa dalam konteks peraturan dan ketetapan Kementerian Pendidikan yang sedia ada.
Dalam erti kata lain, waktu pulang jam 5.30 di Semenanjung dan pukul 5.00 di Sabah/Sarawak adalah munasabah dan terpakai sejak 2022 lagi.
Sebab itu, Pemuda UMNO yang selalu kritikal dalam isu-isu melibatkan dunia pendidikan juga menzahirkan kebersamaan dengan Fadhlina dalam isu berkenaan yang cuba disensasikan oleh pihak pembangkang.
Selepas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai waktu persekolahan semasa bulan Ramadan telah diputar belit oleh sesetengah pihak, seorang Exco pergerakan itu turut bersuara.
Rakyat harus teliti fakta
Exconya, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad berkata, pendirian pergerakan itu ialah untuk terus menyokong perkara yang betul serta membantah sebarang kesalahan dalam pentadbiran negara.
Katanya, rakyat harus meneliti sebarang fakta sebelum memberi komen dan ini adalah sedikit iktibar dalam percaturan dan permainan politik.
"Sebagai rakan kongsi utama dalam Kerajaan Perpaduan, Pemuda UMNO akan terus memainkan peranan yang konstruktif dalam memastikan dasar kerajaan selari dengan kepentingan rakyat.
"Dengar hingga habis sesuatu kenyataan, teliti dan semak fakta sebelum memberi komen atau membuat bantahan. Tindakan serta kenyataan kita banyak mempengaruhi persepsi rakyat.
"Luahkan komen, bangkangan atau rasa tidak puas hati berasaskan fakta, kemudian beri cadangan membina.
"Yang pentingnya, Pemuda UMNO bukanlah merupakan ‘instigator’ kepada ketidakstabilan parti-parti gabungan di dalam kerajaan Perpaduan," katanya lagi.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Kommentare