Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan dalam kerangka memperketat peraturan ke atas pengendali media sosial di Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, hal itu berikutan terlalu banyak kejadian jenayah penipuan atas talian (scammer), buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak (pedofilia) di negara ini.
Sehubungan itu, katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengeluarkan surat arahan kepada syarikat Meta (Facebook, Instagram, Whatsapp), Tiktok, Telegram dan X untuk masing masing platform memberi maklum balas berhubung kadar pematuhan yang perlu dipatuhi selari dengan undang-undang Malaysia.
"Setiap platform ada tahap compliance rate yang berbeza sebagai contoh Facebook (yang) lebih 26.5 juta pengguna berdaftar di Malaysia (tahap) compliance rate 85% manakala Instagram 88% dan Whatsapp 79%.
"Secara keseluruhan syarikat Meta paling patuh kepada undang-undang negara kita," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Namun, kata Fahmi, platform media sosial lain masih mencatat kadar pematuhan yang kurang memuaskan dengan Tiktok 76%, Telegram 63% dan platform X 25%.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi itu juga memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pengendali platform media sosial di Singapura bermula 28 hingga 30 Julai ini.
Pertemuan yang bermula pada Ahad itu dijangka akan menyentuh tiga isu yang membelenggu rakyat Malaysia antaranya penipuan dalam talian, buli siber dan pedofilia.
"Saya akan ke Singapura bermula Ahad hingga Selasa untuk bertemu dengan semua platform media sosial.
"Mereka juga bersedia bertemu untuk memahami pendirian kerajaan dan berusaha memperbaiki keadaan," katanya lagi.
Comments