Oleh: Akmal Manaf
Kepercayaan penuh perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang dalam isu sandwich ham & cheese yang menjadi kontroversi.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Nabil Halimi berkata, isu menyentuh status halal sepatutnya tidak timbul kerana masyarakat berbilang kaum faham sensitiviti agama masing masing.
"Sebagai sebuah negara majmuk, sensitiviti agama perlu dihormati, manakala sebarang provokasi atau tindakan melulu yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh itu, kata beliau, AMK menggesa pihak berkuasa segera menjalankan siasatan bagi mengelakkan isu tersebut berpanjangan.
"Isu ini membangkitkan kebimbangan terhadap kepercayaan umat Islam dalam status halal produk yang dibeli.
"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.
"Penggunaan logo Halal tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi turut mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna," katanya.
Menurut Nabil lagi, pihak korporat, termasuk pengilang dan pengedar pula perlu bertanggungjawab memastikan produk mereka mematuhi peraturan dan menghormati sensitiviti pengguna.
Katanya, prinsip Rukun Negara 'Kepercayaan kepada Tuhan' mengingatkan kepentingan hidup harmoni dengan saling menghormati kepercayaan setiap individu.
"Orang ramai diseru untuk menggunakan aplikasi dan portal Halal Malaysia bagi menyemak status halal produk serta melaporkan sebarang unsur penipuan kepada pihak berkuasa.
"Marilah terus bersama-sama memperkukuh keharmonian masyarakat dan menjaga perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara kita," kata beliau lagi.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan media mengesahkan produk 'ham dan cheese' yang dijual dalam sebuah premis di UM tidak mempunyai sijil halal yang sah dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.
Dalam pada itu, KPDN pula dalam kenyataan berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap sebuah kilang pembuat roti sandwic di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal.
Kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
댓글