KEADILAN Cabang Kemaman membuat laporan polis ke atas Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkenaan ucapan beliau pada Isnin lalu yang menyatakan 'sunat' ahli UMNO berhijrah meninggalkan parti berkenaan.
Menurut Ketua Penerangan dan Komunikasi KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, ungkapan yang diucapkan Muhyiddin itu jelas mengandungi unsur unsur 3R (agama, kaum dan raja) yang tidak wajar diucapkan dalam kempen Pilihan Raya Kecil Kemaman.
"Saya mewakili KEADILAN Kemaman hari ini telah membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapan beliau dalam ceramah PRK P040 Kemaman yang disiarkan sebelum ini oleh pihak media yang mengandungi unsur-unsur 3R
"Keterangan saya telah dirakam oleh pegawai penyiasat (IO) Ibu Pejabat Polis Kontingen Kemaman berhubung kes ini," katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Nadhir berharap pihak berkuasa akan melakukan siasatan ke atas Muhyiddin dan mengambil tindakan sewajarnya agar perkara itu tidak berulang kembali.
Dalam ceramah di Dataran Bazar Kampung Baru Kerteh Isnin lalu Muhyiddin berkata harus untuk ahli UMNO meninggalkan parti itu yang dianggap beliau telah musnah.
"(Saya menyeru) kawan-kawan lama saya, orang UMNO lupakanlah UMNO. Apa hukumnya? Harus, mungkin juga sunat agaknya.
"(Tinggalkan UMNO) dapat pahala hijrah, macam Rasulullah SAW hijrah meninggalkan yang lama, zaman-zaman gelap kerana UMNO sudah hancur dibuat oleh (Presiden) Zahid," katanya sebagaimana dilapor Astro Awani.
Комментарии