Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pernah di puncak kerjayanya sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
Dengan jawatan setinggi itu sesiapa yang akan berkunjung ke kubu kuatnya di parlimen Bagan Datuk pasti merasakan kaum Melayu di sana telah cukup dibela oleh parti Ketuanan Melayu.
Namun hakikatnya, kata calon KEADILAN P075 Bagan Datuk, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, keadaan kehidupan nelayan Melayu di kawasan Zahid jauh lebih buruk daripada rakan senasib di kawasan pembangkang.
"Sepanjang pengamatan saya hampir sebulan berada di Bagan Datuk, kehidupan orang Melayu di sini boleh disifatkan indah khabar dari rupa. Amat mendukacitakan, penduduk terutamanya di kawasan kampung majoritinya tidak tahu mengenai peruntukan RM 3.8 juta setiap tahun untuk kawasan parlimen yang sepatutnya disalurkan untuk pembangunan infrastruktur dan program rakyat.
"Antara persoalan yang ditimbulkan hari ini, benarkah bantuan bot nelayan tidak sampai terus kepada nelayan? Sebaliknya dirompak oleh orang tengah yang bukan nelayan dan kemudian menyewakan bot tersebut kepada nelayan dengan kadar sewa sehingga RM 200 sehari?
"Sekiranya benar maka ini teramat menyedihkan. Selama ini saudara Ahmad Zahid Hamidi dan penyokong boleh mendabik dada dengan bantuan RM300 setiap bulan diberikan kepada nelayan, tetapi apabila ditolak sewa yang tinggal hanya RM100. Nelayan nak makan apa, dan siapa yang kaya?" tanyanya dalam satu kenyataan.
Mantan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga tertanya tanya siapakah sebenarnya yang mengaut keuntungan sehingga nasib nelayan Melayu di Bagan Datuk sedemikian rupa.
"Siapa sebenarnya mengaut keuntungan atas angin memerah keringat nelayan yang terpaksa menyewa bot demi mencari sesuap nasi di lautan? Adakah benar bantuan yang diberi sekadar kosmetik dan kemudian dirompak kembali kroni ahli politik? Adakah pengurusan Pejabat Ahli Parlimen sebelum ini begitu culas sehingga penindasan sebegini dahsyat berlaku?
"Datanglah sendiri ke Bagan Datuk, lihat bagaimana daifnya keadaan jeti nelayan Melayu di sini berbanding jeti nelayan Cina yang serba lengkap dengan kelengkapan memproses hasil laut," katanya.
Shamsul mahu masyarakat nelayan Bagan Datuk sedar dan berusaha melakukan perubahan dalam PRU 15.
Katanya, tidak ada guna Zahid terus berkuasa tetapi kehidupan mereka tidak berubah dan bakal mewariskan kemiskinan kepada generasi akan datang.
"Saya menolak politik rasis namun apabila nama orang Melayu dijaja demi sokongan politik tetapi kenyataannya dihina dan ditindas sebegini rupa, saya tidak mampu berdiam diri. Pengagihan ekonomi perlu berlaku secara saksama mengikut peratusan rakyat dan bukan hanya tertumpu di sesetengah kawasan.
"Saudara saudari, tinjaulah keadaan di sekeliling Bagan Datuk, lihat sendiri keadaan jalan raya yang teruk, bergelap di waktu malam akibat tiada lampu. Berhati-hati kerana risiko kemalangan tinggi sekiranya terlanggar lubang atau termasuk ke dalam parit di kiri dan kanan akibat keadaan jalan yang sempit.
"Bangkitlah seluruh warga Bagan Datuk, 27 tahun dipimpin Ahli Parlimen yang sama sudah tiba masanya kita menebus maruah dan menghukum ahli politik yang gagal berkhidmat demi rakyat, sebaliknya hanya mengisi tembolok sendiri, keluarga dan kroni," katanya lagi.
Untuk rekod, Zahid Hamidi telah dilantik sebagai wakil rakyat Bagan Datuk sejak 1995. Terlalu lama untuk rakyat menilai dan melihat rekod beliau sama ada baik atau buruk.
Kommentare