Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mahu memperkukuh bidang sains forensik bagi menangani kes jenayah membabitkan hidupan liar.
Hasrat itu disuarakan menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad pada ucapan sempena The 7th Society for Wildlife Forensic Science Conference and Meeting 2024 (SWFSC7) di Kuala Lumpur pada Isnin.
"Malaysia menjadi negara pertama di Asia yang menjadi tuan rumah bagi acara berprestij ini.
"Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi SWFSC7 membuktikan peranan penting Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan (MFHLK) di bawah PERHILITAN sebagai makmal forensik yang berprestij dalam menerajui inisiatif melindungi hidupan liar menggunakan teknologi sains," katanya.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi percaya usaha memperkukuh bidang itu dapat dijayakan melalui pemerkasaan teknologi penyelidikan dan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
Malah MFHLK jelasnya telah berperanan menyediakan bukti forensik yang kritikal untuk siasatan jenayah hidupan liar selain turut memainkan peranan penting dalam konservasi Harimau Malaya.
"Pangkalan data genotype Harimau Malaya (MyTAGS) telah dibangunkan oleh MFHLK untuk membantu menjejaki susur galur dan mengenal pasti individu Harimau Malaya untuk membantu usaha pemuliharaan spesies ikonik ini.
"Justeru, kementerian melalui PERHILITAN akan terus memperkasakan MFHLK melalui penambahan kepakaran dan tenaga kerja berkemahiran, jalinan kerjasama antarabangsa dan perkongsian pengetahuan melalui penganjuran latihan untuk saintis hidupan liar di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.
SWFSC7 yang berlangsung sehingga esok disertai lebih 100 ahli sains forensik hidupan liar daripada 27 negara termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom dan negara-negara dari benua Afrika serta rantau Asia.
Ia bertujuan untuk berkongsi idea dan amalan terbaik berkaitan isu-isu jenayah hidupan liar.
Comments