Oleh: Abdullah Zaid
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan saingan sengit di antara calon Kerajaan Perpaduan - Pakatan Harapan menentang calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.
Mereka terdiri daripada bekas Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Pang Sock Tao (nombor dua), calon PN yang juga Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut (nombor satu).
Juga calon bebas Nyau Ke Xin (nombor tiga) dan calon Parti Rakyat Malaysia (nombor empat) Hafizah Zainuddin yang akan bersaing menuju hari pengundian pada 11 Mei ini.
Perkara berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN KKB, Yuhanas Auree Kamaruddin pada jam 10.38 pagi tadi di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Yuhanas memaklumkan Sock Tao, 31, yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.07 pagi, selepas Khairul, 54, pada jam 9.04 pagi.
Ia kemudian disusuli calon bebas Ke Xin pada jam 9.22 pagi dan Hafizah pada 9.55 pagi.
SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini sehingga jam 11.59 malam pada 10 Mei dengan pengundian awal pada 7 Mei.
Terdahulu, Sock Tao tiba di pusat penamaan calon diiringi penyokong serta Naib Presiden KEADILAN juga merangkap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Presiden BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.
PH mempertaruhkan calon muda bagi mempertahankan kerusi tradisi DAP yang dimenangi sejak tahun 2013 hingga kini.
Comments