Lebih RM20 juta sudah diperuntukkan Kerajaan Negeri Selangor bagi menyokong agenda pembangunan sektor pertanian negeri itu sepanjang 2023.
Exco Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata pentadbiran negeri menumpukan kepada sektor pertanian moden dan bernilai tinggi yang bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada sumber import.
Usaha yang dilaksana juga turut bertujuan membantu petani di negeri itu meningkatkan pendapatan mereka.
"Selangor menerusi Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) kita tingkatkan produktiviti dan pendapatan warga tani dan menerusi dasar ini kita galakkkan mereka menceburi pertanian bernilai tinggi.
"Ini bagi memastikan kemajuan industri makanan seiring kemajuan industri lain kerana pertanian merupakan sektor strategik yang tidak boleh diabai dan ditinggalkan. Sebab itu peningkatan produktivitnya menjadi tumpuan," katanya dipetik.
Ir Izham sebelumnya hadir ke majlis pelancaran aplikasi Agro Selangor dan serahan insentif pertanian di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada Khamis.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sejumlah RM2.5 juta insentif pertanian yang memanfaatkan 401 penerima termasuk nelayan, petani, persatuan dan individu.
PeTA dilancarkan pada 2022 meliputi pertanian bernilai tinggi, pertanian moden, rantaian bekalan makanan lengkap, pembangunan agropreneur dan pelancongan agro.
Inisiatif tersebut bagi memenuhi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 bagi meningkatkan hasil pengeluaran.
Kommentare