Oleh: Akmal Manaf
Beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan telah dibuat bagi mendapatkan pandangan berkaitan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, sesi libat urus tersebut diadakan bertujuan untuk memastikan proses berlaku secara teliti dan menyeluruh.
Beliau menyifatkan, pindaan itu merupakan tanggungjawab bersama demi memperkasakan institusi perundangan dan kehakiman syariah di negara ini.
Jelas beliau lagi, sesi libat urus itu diadakan bersama dengan Ketua Hakim Syarie negeri-negeri, Jabatan Peguam Negara, dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
"Selain itu, sesi libat urus turut diadakan bersama Ketua Pendakwa Syarie dan Ketua Pegawai Penguatkuasaan Agama dan juga Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.
"Alhamdulillah, kerajaan berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Yang Berhormat (YB) terhadap pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965," katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan Datuk Ahmad bin Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) berkaitan usaha membentangkan pindaan (Rang Undang-Undang) RUU355 bagi mengangkat martabat Mahkamah Syariah dalam negara.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli memaklumkan, jawatankuasa khas mengkaji isu berhubung kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam juga, akan meneliti cadangan pindaan kepada akta berkenaan.
Katanya, laporan hasil kajian akan diambil kira dalam menggubal pindaan kepada akta tersebut.
"Cadangan pindaan kepada akta itu, akan dibentangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja.
"Ia adalah untuk diperkenankan sebelum dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk persetujuan dasar sebelum dibentang di Parlimen.
"Pindaan kepada akta ini akan dibawa ke Parlimen bersama dengan satu akta baharu iaitu RUU Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan dengan tujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
"RUU itu akan dibentangkan di Parlimen selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri bagi memastikan hasrat memperkasakan Mahkamah Syariah dapat direalisasikan," ujarnya lagi.
Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa pindaan terhadap akta yang melibatkan status dan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah itu, harus dijadikan satu dokumen yang kukuh dan disepakati di antara negeri-negeri, mufti serta golongan ulama.
Pindaan RUU 355 diperjuangkan Pas sejak 2014 dan dijadikan modal pilihan raya umum 2018 dan 2022. Bagaimanapun Pas tidak menyelesaikannya apabila berada dalam Kerajaan Persekutuan pada 2020 - 2022.
Comments