
Rang Undang Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dijadikan bahan propaganda pembangkang kononnya akan mengusir secara halus orang Melayu dari bandar besar hanyalah tohmahan semata mata.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PM) telah menegur pihak yang sengaja mengelirukan orang Melayu bahawa Kerajaan Madani menjamin hak milik mereka yang terlibat dalam pembangunan semula rumah pangsa akan terjamin.
"Perdana Menteri ingin menegaskan bahawa antara prinsip utama PSB ialah projek pembaharuan kediaman mesti dijalankan menerusi perundingan dengan pemilik untuk mendapatkan persetujuan menyertai projek.
"Selepas persetujuan, pemilik akan menerima semula hartanah berkenaan yang telah diperbaharui, pampasan, manfaat sara hidup serta beberapa manfaat lain semasa peringkat permbinaan dan selepas pembinaan diselesaikan
"Perdana Menteri juga menegaskan bahawa pelaksanaan RUU PSB ini akan memastikan rumah yang telah diperbaharui diberikan kepada pemilik asal supaya mereka dapat kembali menghuni di atas tapak asal yang telah dibangunkan," katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Dalam pada itu, kata Nashrul, nilai pampasan hartanah yang diperolehi oleh pemilik pula berdasarkan nilai pasaran masa hadapan, sekali gus membantu mereka untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui.
Hal itu, katanya, berbeza berbanding situasi semasa yang mana pampasan diputuskan oleh perunding atau mahkamah adalah berdasarkan nilai semasa, menyebabkan pemilik tidak mampu memiliki rumah baharu yang harganya jauh lebih tinggi daripada nilai pampasan.
Selain itu, kata beliau, PSB juga menetapkan hal yang tidak pernah terdapat dalam undang undang pembangunan di negara ini, iaitu pelbagai bentuk pampasan atau manfaat wajib diberikan kepada pemilik, antaranya bayaran sewaan kediaman transit, bayaran ex-gratia renovasi hartanah sedia ada dan bayaran-bayaran lain bagi membantu sara hidup pemilik sepanjang tempoh pembinaan.
"Ini bermakna tidak benar persepsi mengatakan undang-undang PSB ini akan menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera hilang tempat di bandar, atau undang-undang ini memberi keutamaan kepada pemaju.
"Sebaliknya PSB ini digubal untuk melindungi hak pemilik dengan memastikan pampasan yang adil dan jauh lebih tinggi berbanding sekarang, untuk melindungi hak dan mengangkat martabat rakyat terutama orang Melayu di bandar, untuk memastikan miskin bandar terutama orang Melayu hidup dengan lebih bermaruah ketimbang dibiarkan hidup berhimpit selama puluhan tahun tanpa penyelesaian," katanya.
Sehubungan itu, Nasrul menegaskan, disebalik fitnah yang dilemparkan RUU PSB adalah formula penyelesaian yang diperjuangkan oleh parti parti yang prihantin dengan nasib rakyat marhaen yang selama ini, yang sering ditindas oleh pemaju dan dinafikan kebajikan mereka.
Comments