
Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2024) 2025 bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan diluluskan di Dewan Rakyat pada Isnin.
RUU itu yang dibentangkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Dipetik laporan media, RUU itu melibatkan pengeluaran sejumlah wang yang tidak melebihi RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan bagi 2024.
Terdahulu, ketika penggulungan perbahasan RUU itu, Amir Hamzah berkata kerajaan telah membelanjakan lebih RM70 bilion untuk subsidi, insentif dan bantuan pada 2024 dengan komitmen perbelanjaan melebihi anggaran asal Belanjawan 2024 sebanyak RM58 bilion.
Antara sebab utama peningkatan itu adalah untuk menampung keperluan tambahan bagi subsidi produk petroleum iaitu RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
"Belanjawan 2024 disediakan berdasarkan andaian penyasaran subsidi diesel dan RON95 akan dilaksanakan awal 2024," katanya dipetik.
Sementara itu Amir Hamzah menjelaskan, perbelanjaan tambahan yang diluluskan itu melibatkan kegunaan peruntukan kepada Perkhidmatan Am Perbendaharaan iaitu sebanyak RM12,624,721,830, Kumpulan Wang Terkanun (RM3,151,419,300), Kementerian Pendidikan (RM1,763,672,170), Jabatan Perkhidmatan Awam (RM1,148,146,080) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (RM1,077,146,050).
Selain itu peruntukan itu juga bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (RM417,999,870) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (RM8,194,200).
Comments