
Dakwaan yang ditimbulkan pembangkang di media sosial kononnya pemilik rumah kaum Melayu akan kehilangan hartanah apabila Rang Undang Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) diluluskan kelak tidak berbangkit.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya PSB menjamin pemilik asal akan mendapat rumah yang dibangunkan semula tanpa mengira kaum.
Begitu juga dengan satus pemilikan tanah atau tapak rumah tidak akan berubah.
"RUU Pembaharuan Semula Bandar kita rangka lebih 10 tahun lalu. Pertama tidak timbul sama sekali bahawa pemilik asal hartanah tanpa mengira kaum akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan.
"Malah status tanah yang asal kekal, sama ada rizab Melayu atau status kekal (hak milik kekal) tidak akan berubah
"Kedua kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal akan memahami hak perlindungan yang diberikan," katanya dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat menjawab soalan Ahli Parlimen Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pagi ini.
Menurut PM, undang undang setara PSB juga wujud di bandar besar lain di dunia bagi menyelesaikan masalah bangunan lama, usang dan tidak lagi selamat diduduki.
Malah kata PM, RUU itu telah dibincangkan sejak 2012. Pada 2013, katanya, ianya diusulkan dan seterusnya 2015 proses penggubalan dimulakan.
Katanya, Mantan Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini Tan Sri Annuar Musa pernah menerajui program pembaharuan tersebut. Terutama rumah pangsa yang berumur lebih 40 tahun. Pada 2021 pula Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin memulakan penggubalan RUU URA.
Malah, katanya, sejak 2012 telah berlaku 74 kali sesi libat urus dan semua masalah rakyat diambil kira.
"Ada kes rumah pangsa di Jalan Tun Razak (Kuala Lumpur), itu semua setuju, seorang tak setuju (terhalang projek). Sampai sekarang lapuk, lembab, daif di tengah kota besar. Apakah kita boleh korbankan projek yang dipersetujui oleh 99 peratus hanya semata mata seorang?" tanyanya.
Maka dengan itu, kata PM, nilai ambang persetujuan pemilik hartanah perlu diturunkan. Bagi projek kurang 30 tahun nilai ambangnya diturunkan kepada 86 peratus pemilik rumah bersetuju dan projek boleh dilaksanakan.
Untuk bangunan melebihi 30 tahun, perlukan persetujuan 75 peratus dan bagi yang terbengkalai atau terbiar maka perlukan majoriti mudah 51 peratus.
"Saya tidak mahu menyentuh kerana RUU belum dibentangkan tetapi prinsip ini selaras kehendak Perkara 13 Perlembagaan. Dalam menggubal kita tidak mengenepikan prinsip ini.
"Ambil contoh Residen Kerinchi berapa kos rumah? Itu semasa pengambil alihan kosnya RM70,000, 418 kaki persegi (luas rumah). Kemudian dinaikkan kepada 882 kaki persegi. Syaratnya tidak boleh murah daripada dahulu, tidak boleh kecil daripada dahulu.
"Itu prinsip diterima pakai dan akhirnya dari RM70,000 (harga asal) kos naik jadi RM350,000 - RM400,000 (setelah mendiami rumah baharu). Bagi saya ini cara nak bantu," katanya.
Tegas PM, hanya cara berkenaan sahaja yang boleh membantu membangunkan kediaman orang Melayu yang daif di tengah kota Kuala Lumpur tanpa menjejaskan hak mereka.
Comments