
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan berhasrat untuk melihat keserasian dicapai melibatkan matlamat penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebelum ini Kabinet telah meminta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong agar meneliti dan mengadakan sesi libat urus yang lebih luas sebelum menyerahkan draf RUU Pekerja Gig itu ke Kabinet.
''Apa yang kerajaan harap adalah keserasian antara matlamat menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig dan juga RUU Pekerja Gig.
''Hari ini kerajaan tidak ada membincangkan mengenai perkara tersebut, namun ianya ada dibincangkan sebelum ini dalam beberapa mesyuarat.
''Oleh yang demikian, kita (kerajaan) berhasrat untuk memastikan kedua-dua RUU berkenaan diselaraskan,'' katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di Putrajaya hari ini.
Semalam Jemaah Menteri dicadang untuk mempertimbangkan dan meluluskan penubuhan SEGiM, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, SEGiM akan bertindak sebagai badan kawal selia utama bagi memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan dengan memberi tumpuan kepada komponen kritikal dalam model ekonomi gig serta aspek-aspek yang memerlukan pengawalseliaan.
Comments