top of page

RUU Mufti WP: Fahami konteks, jangan berdebat keluar dari lingkungan ilmu

Updated: Oct 24



Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 yang bakal dibentang untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen sesi Oktober ini mula diperdebatkan dengan meriah dalam kalangan ilmuan agama dan tidak kurang pula rakyat biasa yang menzahirkan pelbagai pendapat.


Lebih sengit apabila RUU Mufti WP itu yang menekankan pegangan aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyah dijadikan syarat kelayakan untuk seseorang tokoh diangkat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan telah mendapat bantahan aliran lain seperti Salafi yang mempunyai sejumlah pengikut dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia.


Bagi Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) KEADILAN, Amidi Abdul Manan, sebarang perdebatan dari kalangan aliran berbeza berkenaan RUU Mufti ini seharusnya berlandaskan ilmu yang benar dan diperdebatkan dalam kalangan yang mempunyai pengetahuan sahaja.


Katanya, perbahasan di media sosial biarpun tidak salah namun tidak wajar sehingga melewati batas keilmuan atau mengutamakan emosi.


"Tiada salah ia (RUU Mufti) dibahaskan kerana dokumen tersebut adalah dokumen awam dan ia melibatkan kepentingan masyarakat khususnya umat Islam di Wilayah Persekutuan.


"Namun ia mula menampakkan reaksi berlebihan sehingga agak terkeluar dari lingkungan yang sepatutnya.


"Perbahasan yang ilmiah telah dibawa ke daerah sentimen kelompok, lalu membawa kepada ledakan emosi dan menyingkirkan rasional.


"Kepada tokoh kedua-dua kelompok, adalah diharapkan agar sentiasa menjaga batasan adab dan akhlak bagi membahaskan isu-isu yang terkait dengan RUU Mufti WP ini.


"Kata-kata keras, mencemuh, memperlekeh dan kesat hanya menyemarakkan api permusuhan dan bukan menghuraikan kekusutan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tegas Amidi, setiap tokoh agamawan serta pengikut dan penyokongnya yang terlibat dalam perdebatan amat dituntut berusaha memperlihatkan keindahan Islam, agar kefahaman mengenai Islam akan mengukuhkan lagi kecintaan terhadap nilai dan ajarannya, bukan menonjolkan pertelagahan dalam isu isu yang kurang difahami masyarakat awam.


"Fahamilah konteks asal RUU Mufti Wilayah Persekutuan agar perbincangan tidak tersasar jauh dari tujuan RUU ini digubal," ujarnya.


Di samping itu, Amidi turut memuji tindakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengadakan majlis-majlis libat urus bagi menjelaskan kekusutan berkenaan RUU tersebut.


"Pihak JPPA KEADILAN amat menyanjung dan menyokong usaha yang dilakukan oleh Pejabat Mufti WP dalam membuat majlis-majlis libat urus, bagi memberikan maklumat dan penjelasan berkaitan RUU ini," katanya.


Pada masa sama, kata Amidi, beliau amat yakin Perdana Menteri mampu menangani isu berkenaan dengan mengutamakan maslahah a'amah umat Islam semasa berdasarkan pengalaman PM yang bergaul luas dalam kalangan ulama pelbagai aliran dan mazhab.


Untuk rekod, isu Rang Undang-Undang Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 (RUU Mufti) timbul apabila ia menentukan antara kelayakan menjadi mufti dan timbalan mufti ialah individu terbabit wajib berakidah Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) yang merujuk kepada pegangan aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyah.


Namun hal itu dibantah oleh ilmuan agama dan ulama beraliran lain. Bagaimanapun RUU Mufti WP berkenaan terpakai di Wilayah Persekutuan seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja dan tidak di negeri negeri lain.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page