
Oleh: Akmal Manaf
Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia yang dijangka dibincangkan di Parlimen diharap dapat melindungi kebajikan pekerja yang berkhidmat dalam industri media.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, harapan itu dizahirkan susulan pihaknya menerima berita mengejutkan apabila dalam tempoh setahun lalu, beberapa portal berita telah memberhentikan sekitar 100 pekerja.
Mengambil contoh sebuah portal berita yang menguruskan kakitangannya ketika pandemik Covid-19, beliau berkata, pihak pengurusan portal telah meminta pemimpin kanannya membuat potongan gaji sebanyak 20 peratus agar pekerja berpendapatan rendah tidak terjejas.
''Pendekatan sedemikian wajar dipuji. Jadi mengapa syarikat pada masa kini tergesa-gesa memberhentikan pekerja tanpa mempertimbangkan langkah-langkah serupa?
''Terdapat juga kes gaji tertunggak serta caruman yang tidak dibayar membabitkan beberapa lagi portal berita,'' katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Komunikasi KEADILAN itu menambah, pada 14 Februari lalu, seramai 15 pekerja telah membuat laporan polis bagi menuntut pembayaran segera Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tahun 2024.
Katanya, adalah amat tidak bertanggungjawab bagi pemilik media membiarkan pekerja mereka menanggung gaji tertunggak serta kegagalan dalam menyalurkan caruman yang diwajibkan.
Ujarnya, situasi lain yang mengecewakan adalah perjanjian kolektif bagi sebuah akhbar tempatan yang telah luput sejak tujuh tahun lalu, namun pihak pengurusan masih enggan berunding.
"Bagaimana mereka boleh menggelarkan diri sebagai 'kuasa keempat' yang memantau pemimpin, sedangkan mereka sendiri mengabaikan pekerja dalam industri mereka?
"Saya amat sedih melihat nasib yang menimpa ramai pekerja media minggu lepas dan ingin memuji Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, kerana menyoroti isu ini.
"Usaha kementerian untuk campur tangan bagi pihak pekerja adalah satu langkah yang wajar dan tepat pada masanya.
"Namun, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku jika pemilik media lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja mereka," katanya lagi.
Oleh yang demikian, Chean Chung berharap pertemuan berlangsung minggu ini akan menjadi titik permulaan untuk mengiktiraf pengorbanan dan perjuangan pekerja dalam industri media.
"Saya juga berharap kementerian dan pemilik media dapat bekerjasama bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin serta mereka mendapat latihan yang sewajarnya untuk masa depan," katanya.
Comments