Tindakan Pas membangkitkan isu pembentangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 dibidas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata parti itu ketika berada dalam kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan untuk memajukan isu tersebut, sebaliknya kembali membangkitkan semula perkara itu setelah kembali menjadi pembangkang.
Tegas Anwar, tindakan membangkitkan kembali perkara itu tidak lebih sebagai “politik murahan”.
"RUU355 ni dah tiga tahun. Semasa ada dalam kerajaan dia lupa, apabila dah jadi pembangkang dia bangkit (semula).
"Itu bukan Islam namanya, itu ‘politik murahan’," kata Anwar dipetik.
Pada 16 Feb lalu, Ahli Parlimen Pasir Mas daripada Pas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan memaklumkan status terkini akta tersebut sambil mempersoalkan bila ianya akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Malah pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Pendang dari Pas Awang Hashim pula membangkitkan perkara sama melalui pertanyaan lisan di dalam dewan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal agama) Mohd Na'im Mokhtar dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Jumaat berkata RUU355 akan dibentangkan bersama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).
Walau bagaimanapun jelasnya, cadangan itu bertujuan untuk memperkasa mahkamah syariah dan akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan dasar.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat buat pertama kali pada 26 Mei 2016, tetapi menangguhkan perbahasan dan membentangkan versi yang disemak semula pada November 2016.
Pada Oktober 2018 ia sekali lagi ditangguhkan selepas dibentangkan kali ketiga pada persidangan Parlimen dengan alasan usul bagi membentangkan RUU 355 perlu dicadang serta dikemukakan oleh menteri untuk dibahaskan.
RUU yang dianggap 'sangat penting' bagi penyokong Pas itu sekali lagi ditangguhkan pada Januari 2021 dengan alasan mahu menyelesaikan hal lebih penting ketika itu iaitu darurat susulan pendemik Covid-19.
Kommentare