
Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 yang dianjurkan oleh Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng di kawasan tempat letak kereta Pasar Awam Jalan Prima Setapak baru baru ini meriah dengan dikunjungi sejumlah 2,000 penduduk setempat bagi mengeratkan hubungan antara kaum.
Dalam ucapannya, Andre Lai yang juga Ketua Cabang Wangsa Maju berkata, beliau amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh masyarakat setempat dan menegaskan Wangsa Maju merupakan sebuah komuniti yang dinamik serta kaya dengan kepelbagaian budaya.
"Rumah terbuka ini bukan sekadar perayaan masyarakat Cina, tetapi telah menjadi platform untuk seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bersama-sama meraikan keharmonian serta mengukuhkan hubungan muhibah," ujarnya.
Dalam majlis itu beliau turut mengumumkan kesediaannya mempertahankan jawatan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju untuk penggal ketiga dalam pemilihan parti yang akan datang.
Sepanjang tempoh lalu, katanya, beliau telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah infrastruktur setempat, termasuk penambahbaikan keselamatan jalan raya, pengoptimuman ruang awam serta memperjuangkan perumahan mampu milik untuk masyarakat yang memerlukan.

"Wangsa Maju adalah sebuah kawasan yang pesat membangun. Kita perlu memastikan infrastruktur di sini dapat menampung keperluan penduduk agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti," katanya.
Selain itu, Andre Lai juga mengajak penduduk memberi sokongan padu kepada polisi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang giat melaksanakan transformasi nasional menerusi dasar Malaysia MADANI.
Beliau menegaskan Wangsa Maju sebagai salah satu kawasan utama di Kuala Lumpur seharusnya menerima lebih banyak sumber pembangunan bagi memastikan penduduk setempat menikmati manfaat daripada inisiatif kerajaan.
Aturcara majlis itu menampilkan persembahan kebudayaan, gerai kaligrafi Cina yang sebagainya yang membolehkan penduduk daripada pelbagai latar belakang berkumpul meraikan perayaan dengan penuh kegembiraan, sekaligus mencerminkan semangat perpaduan yang erat dalam komuniti Wangsa Maju.
Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN merangkap bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, Pengerusi SwCorp, Hee Loy Sian, ADUN Bukit Antarabangsa, ADUN kajang, YB David Cheong, serta Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Comments