![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_9f2703a04fb740deb8d1689b7bdb6b90~mv2.jpg/v1/fill/w_681,h_433,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_9f2703a04fb740deb8d1689b7bdb6b90~mv2.jpg)
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Madani melalui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah berjaya mencapai 91 peratus daripada sasaran ditetapkan dalam tempoh 10 tahun bagi menyediakan rumah mampu milik untuk warga Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau percaya baki kira-kira 7,000 unit rumah lagi akan dapat dicapai dalam tempoh tiga tahun akan datang.
''JWP sentiasa komited dalam memastikan bekalan rumah mampu milik di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan sentiasa mencukupi.
''Oleh itu JWP telah mensasarkan pembinaan sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun mulai 2018 hingga 2028 menerusi program Residensi Wilayah dan Residensi MADANI,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) yang ingin mengetahui tentang langkah-langkah kerajaan untuk merancakkan pembangunan perumahan mampu milik di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Zaliha berkata, sehingga 31 Januari tahun ini sebanyak 72, 864 unit melibatkan 101 projek perumahan mampu milik di Wilayah Persekutuan merangkumi projek yang telah siap dan sudah mendapat perintah pembangunan.
''Ini termasuk 5,015 unit residensi Putrajaya yang terdiri daripada Residensi MADANI dan Residensi Wilayah yang telah diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Oktober 2024 di Putrajaya.
''Residensi MADANI dan Residensi Wilayah dijangka siap dibina pada 2027 hingga 2028. Berdasarkan data tersebut, suka saya makluman kita telah berjaya mencapai 91 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dalam menyediakan rumah mampu milik,'' ujarnya beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang.
Untuk rekod pembinaan rumah mampu milik secara agreasif di Wilayah Persekutuan dimulakan pada tahun pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 lalu.
Polisi itu diteruskan di bawah kerajaan selepasnya dan dipergiatkan lagi pada era Kerajaan Perpaduan mulai tahun 2022.
Comments