top of page

Rombakan Kabinet bukan 'balas budi', lebih kecil daripada Kabinet PN



Oleh: Helmi Mohd Foad


Rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lepas bukan sesuatu perkara yang disifatkan sebagai 'membalas budi' seperti didakwa oleh Pas.


Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Azli Yusof berkata hal itu kerana barisan baharu Kabinet tersebut tidak memperuntukkan banyak jawatan kepada sekutu politik sebagaimana yang dilakukan ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.


"Pemberian banyak jawatan tidak berlaku dalam rombakan Kabinet kali ini sebagaimana PN buat dahulu.


"Rombakan itu dilihat lebih kepada mengisi kekosongan seperti Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dan pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang sebelum ini tidak ada," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari kononnya rombakan kabinet yang diumumkan oleh PM pada Selasa lalu disifatkan sebagai ‘Kabinet balas budi’.


Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendakwa rakyat tidak melihat satu tindakan yang proaktif ke arah memastikan Kabinet bersih dari sebarang tohmahan negatif.


Sebaliknya, Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, rombakan tersebut dibuat mengikut keperluan semasa dengan memecahkan portfolio tertentu seperti Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital diwujudkan secara berasingan berbanding sebelum ini di bawah teraju seorang menteri.


Katanya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pula dipecahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, memandangkan terdapat perbezaan dari segi fungsinya.


Jelas beliau, pelantikan menteri baharu adalah disebabkan pecahan kementerian baharu berasaskan kepada perbezaan portfolio tersebut.


Tambahnya, saiz Kabinet Kerajaan MADANI sebenarnya lebih kecil berbanding pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


"Saiz Kabinet sekarang tidaklah besar sebagaimana sebelum ini. Kerajaan PN membuat pelantikan ramai timbalan menteri. Sedangkan dalam Kabinet sekarang ada yang tiada timbalan menteri seperti di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)," ujarnya yang juga Ketua Penerangan Pakatan Harapan Selangor.


Selasa lalu, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan jumlah anggota Jemaah Menteri meningkat dari 28 kepada 31 orang manakala timbalan menteri dari 27 kepada 29 orang.


Dalam rombakan itu, seramai tiga bekas menteri dibawa kembali ke Kabinet iaitu Gobind Singh Deo, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizah pula dilantik sebagai Menteri Kewangan II manakala Steven Sim yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan II dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia menggantikan V. Sivakumar yang digugurkan.

Empat timbalan menteri baharu dilantik iaitu Datuk Seri Noraini Ahmad (Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat), M. Kulasegaran (Undang-Undang, Reformasi Institusi), Datuk R. Ramanan (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Wong Kah Woh (Pendidikan) dan Senator Dr Zulkifli Hassan (Hal Ehwal Agama).


Dua timbalan menteri digugurkan iaitu Ramkarpal Singh kerana memberikan laluan kepada abangnya Gobind Singh dan Datuk Siti Aminah Aching (Perladangan dan Komoditi).


Keseluruhan anggota Kabinet sekarang berjumlah dari 55 kepada 60 orang dan saiznya lebih rendah berbanding 70 orang di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page