![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_9f7d2458e0ee4f5e8dc04186a75e9f8c~mv2.png/v1/fill/w_660,h_422,al_c,q_85,enc_auto/4449e2_9f7d2458e0ee4f5e8dc04186a75e9f8c~mv2.png)
Pemimpin Pemuda MCA diingatkan jangan bersikap lebih sudu dari kuah apabila membuat gesaan terhadap Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik Menteri Kewangan II.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang Muhammad Fadzli Roslan berkata, kenyataan Pemuda MCA yang turut menggesa Perdana Menteri memecat beberapa orang menteri kabinet adalah cadangan yang mengarut dan sangat tidak berasas.
Beliau mengingatkan Pemuda MCA bahawa Perdana Menteri berkuasa mutlak mencalonkan sesiapa sahaja untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai menteri bawah pentadbirannya dan umum mengetahui bahawa rombakan kabinet adalah hak prerogatif seorang Perdana Menteri.
"Umum juga mengetahui bahawa menteri-menteri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani kini sedang berusaha keras, kuat, gigih dalam menangani serta mendepani masalah serta cabaran yang sedang berlaku dan masih memerlukan sedikit masa untuk melihat keberkesanan dan impaknya
"Sudah tentunya beliau lebih mengenali dan mengetahui siapa yang harus diganti, dirombak atau ditukar," katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong semalam mencadangkan PM memecat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mengulas perkara itu, Muhammad Fadzli berkata, tiada keperluan untuk Pemuda MCA mengarahkan atau mengajar seorang Perdana Menteri memecat, menukar, merombak atau melantik mana-mana menteri atau timbalan menteri di bawah kabinetnya.
Sebaliknya, sebagai sebuah sayap pemuda di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, pemimpin muda MCA sepatunya bersama-sama membantu dan menggembleng tenaga dengan kerajaan dalam menyumbang idea-idea polisi dan dasar bernas terhadap nasib golongan rentan serta belia dan anak muda.
"Tentunya Perdana Menteri dan kabinetnya lebih arif dalam menentukan hala tuju negara," katanya sambil menggesa semua pihak memberi masa kepada PM dan kabinetnya untuk menilai dan memulihkan keadaan negara akibat pemerintahan terdahulu.
Comments