Perobohan unit rumah, surau dan binaan lain di Kampung Sri Makmur, Mukim Batu, Daerah Gombak pada 27 Mei lalu telah dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan dan dilaksanakan secara cermat.
Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan di media sosial berkenaan insiden yang menggambarkan 'kekerasan' dalam perobohan surau atau kediaman penduduk.
Menurut Pentadbir Tanah Gombak, perobohan itu dilakukan sesuai dengan perintah mahkamah. Tanah yang terlibat, kata kenyataan itu merupakan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan diserahkan kepada pemaju, yang mendapat perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei 2024 untuk melaksanakan perobohan penempatan setinggan.
"Pentadbiran ini telah bertindak menugaskan pegawai dan anggota penguatkuasa melaksanakan tugasan bagi membantu mengawal keselamatan ketika operasi berlangsung seiring anggota penguatkuasa daripada Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi penguatkuasaan dan teknikal yang lain.
"Pada 27 Mei 2024, pihak Bailif daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melaksanakan tindakan pengusiran itu telah dihalang oleh penceroboh daripada memasuki tapak operasi.
"Penceroboh telah dinasihatkan agar tidak menghalang pihak pelaksana untuk melaksanakan perintah pengusiran," katanya.
Meskipun, kata kenyataan itu, terdapat halangan namun situasi dapat dikawal dengan baik.
Anggota penguatkuasa yang bertugas telah mengikut prosedur serta tatacara kerja dan dipantau oleh pegawai bertugas bagi memastikan keseluruhan struktur yang terlibat dengan operasi, termasuk surau dikosongkan sepenuhnya.
"Begitu juga barang-barangan (dalam surau), naskah Al-Quran, ayat dan kalimah suci atau apa jua bahan yang mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran telah dialihkan ke tempat yang selamat bagi mengelakkan kerugian kepada pemilik struktur serta memelihara kesucian dan kehormatan kitab suci Al-Quran.
"Pihak pemaju juga telah melantik pekerja-pekerja yang memakai safety vest bagi membantu pemilik struktur untuk memindahkan baki barangan yang masih ada di dalam struktur yang terlibat," katanya.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, berlaku satu insiden di mana empat orang anggota penguatkuasa telah diserang oleh pemilik struktur yang terlibat dengan perobohan.
Satu laporan polis telah dibuat di IPD Gombak terhadap suspek dan kes itu kini di bawah tindakan pihak PDRM.
Sehubungan itu, PentadbirTanah Gombak menasihatkan kepada orang ramai agar tidak mempercayai dakwaan palsu seperti yang tular di media sosial berhubung pelaksanaan perobohan penempatan setinggan Kampung Sri Makmur, terutama ke atas surau di kawasan tersebut.
Comments