Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memperkenal insentif baharu yang memfokuskan kepada dasar-dasar yang mempengaruhi tingkah laku masyarakat dalam negara.
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ia akan memberi tumpuan kepada perubahan struktur untuk menyokong pertumbuhan mampan dan sejajar dengan ekonomi global yang berkembang yang berbeza berbanding kebiasaan sebelum ini yang lebih bersifat mengagihkan wang dan projek semata-mata.
"Inilah yang kerajaan cuba lakukan, mahu memberi tumpuan kepada reka bentuk dasar dan program yang akan memberi kesan jangka panjang kepada tingkah laku kita sama ada dari segi kesihatan, keusahawanan, pendidikan, dan sebagainya.
"Jadi, saya minta maaf untuk berkata yang insentif itu memang ada, tetapi terus terang, harapan saya ialah RMK13 ini bukan menjadi sebuah 'kitab insentif'. Sebaliknya, ia adalah satu peralihan dasar dan pemikiran supaya kita dapat secara progresif mempengaruhi perubahan tingkah laku.
"(Ini) kerana kita memerlukan perubahan tingkah laku ini untuk mencapai beberapa perkara. Pertama, menjadi negara maju. Kedua, untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi kita sebagai sebuah negara maju. Namun yang paling penting, kita perlu berkelakuan seperti sebuah masyarakat maju untuk mengekalkan kedudukan kita di dunia sebagai sebuah negara maju," katanya dipetik.
Terdahulu beliau menghadiri sesi program Madani Mendengar dan Sesi Libat Urus (SLU) terakhir RMK-13 bersama pemain industri di Kuala Lumpur pada Khamis.
RMK13 dijangka akan dibentangkan ke Parlimen pada Julai ini selepas dua lagi SLU dilaksana bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan Pahang dalam masa terdekat.
Dalam pada itu Rafizi menjangkakan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun ke depan, sektor perkhidmatan dijangka menguasai aktiviti ekonomi Malaysia selaras dengan kebangkitan ASEAN sebagai kuasa ekonomi global utama.
"ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar, atau bahkan ketiga, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun - dengan kelas pertengahan yang semakin berkembang, populasi muda, dan hubungan digital yang menjadikannya kuasa besar pengguna.
"Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan ini. RMK13 adalah peluang terbaik untuk menyusun semula ekonomi dan melaksanakan pembaharuan yang diperlukan untuk trajektori pembangunan Malaysia," jelasnya.
Comments