
Kerajaan MADANI menyalurkan RM40 juta untuk melaksanakan projek penyelenggaraan 302 sistem telaga tiub di sekolah-sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh di Dewan Rakyat berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Selain itu menurutnya, kementerian menerusi bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah melaksanakan pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
"Sejak 2021 sehingga sekarang, jumlah nilai kontrak peruntukan yang diluluskan adalah RM94.5 juta. Di bawah projek ini, 90 sekolah dikenal pasti dan disenaraikan bagi projek ini, iaitu di Sabah melibatkan 79 sekolah manakala Sarawak 11 sekolah.
"Pembinaan sedang giat dilaksanakan dengan purata kemajuan fizikal projek bagi 64 sekolah mencapai 59.85 peratus. Tempoh projek kerja ditetapkan selama dua tahun dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025," katanya pada sesi soal jawab pada Rabu.
Beliau sebelumnya menjawab soalan seorang Ahli Dewan berhubung usaha kementerian itu untuk memastikan bekalan air bersih sampai ke sekolah luar bandar, terutama yang belum mempunyai akses air bersih.
Sementara itu menurut Wong, untuk tahun ini juga, 16 sekolah diluluskan penukaran skop projek kepada penggunaan teknologi Penjana Air Atmosfera (AWG).
Beliau berkata buat masa ini, pihak JKR sedang dalam proses memuktamadkan perjanjian tambahan untuk melaksanakan skop baharu dalam projek ini, manakala 10 sekolah di Sabah dalam proses kelulusan penukaran skop AWG.
Comments