Kerajaan MADANI menyediakan peruntukan tambahan RM200 juta untuk program Jualan Rahmah Madani di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peruntukan itu sebagai sebahagian usaha kerajaan membantu meringankan beban sara hidup rakyat.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menambah peruntukan dari RM100 juta kepada RM200 juta untuk melaksanakan program ini di semua DUN.
"Barang-barang yang dijual itu ada subsidi daripada kerajaan dengan matlamat membantu rakyat, jadi kita akan buat di semua DUN tiap-tiap bulan," katanya ketika berucap pada Jualan Rahmah di Taman Keramat, Likas pada Sabtu.
Turut hadir pada acara itu ialah Ahli Parlimen Kota Kinabalu merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komuniti, Datuk Chan Foong Hin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Datuk Tan Lee Fatt.
Armizan sementara itu turut memaklumkan, selain program yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan, terdapat banyak lagi program turut disediakan oleh kerajaan negeri dalam usaha meringankan beban rakyat.
Di Sabah, Kerajaan Negeri jelasnya melaksana 'outreach' bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan muda yang dikendalikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
"Menerusi program yang sudah memasuki tahun keempat ini, kerajaan negeri memberikan bantuan peruntukan secara serta merta sebanyak RM500 untuk anak-anak muda kita yang mahu berniaga," katanya.
Comments