Sejumlah RM100 juta telah diperuntukkan Kerajaan Madani untuk melaksana pelbagai Projek Rintis berkaitan sektor pertanian.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, peruntukkan melalui inisiatif diumumkan pada Belanjawan 2024 itu melibatkan melibatkan pakej pembekalan, penghantaran dan perkhidmatan aplikasi secara terus untuk baja sebatian, bio serta organik di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kelantan.
"Melalui Projek Rintis ini, pembekalan baja dilaksanakan secara pembajaan tepat dan khusus berdasarkan maklumat 'soil profiling' yang disyorkan Jabatan Pertanian mengikut status kesuburan tanah di kawasan yang telah dikenal pasti.
"Ia merupakan langkah permulaan kerajaan dalam usaha memulih dan meningkatkan kesuburan tanah sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran padi serta beras negara," kata KPKM.
Kenyataan itu sebagai menjawab laporan sebuah portal tempatan melalui artikel bertajuk Kesan Penarikan Skim Baja Padi Buat Petani yang disiarkan pada 11 Julai lalu.
Sementara itu menurut KPKM, program pemberian subsidi dan insentif sedia ada membabitkan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) masih diteruskan oleh pihaknya.
"Walau bagaimanapun, pelaksanaan program SBPKP dan SIPP sedia ada ini tidak akan melibatkan kawasan yang telah terpilih di bawah Program Rintis.
"KPKM akan sentiasa memastikan kebajikan pesawah terjaga melalui pemberian subsidi dan insentif dari semasa ke semasa," kata kenyataan tersebut.
Kommentare