Program subsidi tong gas memasak berharga RM10 setong diteruskan di parlimen Segamat.
Menurut Ahli Parlimen (MP) Segamat, R Yuneswaran, program itu yang diteruskan baru baru ini di Dewan Serbaguna Batu Anam telah mendapat sambutan hangat penduduk sekitar.
"Dengan hanya RM10, setiap penduduk boleh mendapatkan sebiji tong gas yang amat diperlukan dalam kegunaan harian.
Dalam fasa kedua program ini, sebanyak 200 biji tong gas memasak telah disalurkan kepada masyarakat.
"Sebelumnya, fasa pertama program ini telah berjaya dilaksanakan pada hujung bulan lalu di pejabat saya.
"Melihatkan sambutan yang amat menggalakkan, kami bertekad untuk meneruskan inisiatif ini dengan perancangan fasa ketiga dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada H-J Enterprise yang telah membantu dalam proses pertukaran dan pemunggahan tong gas berkenaan secara pantas melalui kaedah pandu lalu sama ada pengguna menaiki kereta atau motorsikal.
"Terima kasih juga kepada kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Segamat, para sukarelawan, dan anggota RELA yang telah memberikan sokongan penuh dalam memastikan kelancaran program ini," katanya lagi.
Maklumat lanjut mengenai fasa ketiga, kata beliau, akan diumumkan dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai dapat menikmati manfaat program tong gas RM10.
Commentaires