Jenazah pemimpin kanan Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Founding Imam Bandar Lusail, Doha, Qatar pada jam 1 petang waktu tempatan pada Jumaat.
Terdahulu selesai solat Jumaat, jenazah ketua biro politik Hamas itu disolatkan di Masjid Imam Muhammad Ibn Abdul Al Wahhab, Doha Qatar dihadiri oleh ribuan jemaah daripada pelbagai negara dan rakyat tempatan.
Upacara pengebumian Ismail itu dihadiri pelbagai pemimpin negara Islam termasuk Malaysia yang diwakili oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
"Saya dibawa oleh wakil Kedutaan Malaysia di Doha mengiringi jenazah yang suci, pemimpin syahid, mujahid Ismail Haniyeh ke tempat peristirahatan terakhirnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Founding Imam Bandar Lusail, Doha pada jam 1 petang waktu tempatan," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
"Mewakili Kerajaan Malaysia, saya telah memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin tertinggi Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh," katanya dipetik.
Turut hadir Timbalan Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri serta pegawai di pejabat Kedutaan Malaysia di Doha.
Shamsul berkata kehadiran ribuan orang ramai sewaktu solat jenazah dan di pengebumian Almarhum Ismail jelas menunjukkan nilai penghormatan yang tinggi kepadanya sebagai pemimpin teragung Palestin.
"Sudah pasti, perjuangannya akan diteruskan dalam usaha membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis dan sebuah negara merdeka," ujarnya.
Media antarabangsa melaporkan wakil-wakil kumpulan pejuang Palestin yang lain dan orang ramai turut menghadiri memberi penghormatan kepada Ismail yang sebelum ini menetap di pejabat politik Hamas di Qatar.
Ahli keluarga Almarhum turut dilaporkan hadir di upacara pengebumian itu di tengah-tengah langkah keselamatan yang ketat di berikan.
Wisma Putra dalam kenyataan mengenai pengebumian Ismail semalam berkata, Malaysia akan terus bersolidariti dengan ahli keluarga, kepimpinan dan rakyat Palestin.
"Penderitaan dan pengorbanan rakyat Palestin yang tidak berbelah bahagi adalah rangkuman kehidupan Ismail yang telah memberikan keluarga, nyawa dan jiwanya dalam perjuangan untuk kebebasan, keamanan dan keadilan ke arah merealisasikan sebuah negara berdaulat dan merdeka," katanya.
Semalam Iran mengadakan upacara perarakan untuk ketua politik Hamas yang syahid pada Rabu sebelum pengebumiannya di Doha.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei memimpin solat jenazah Ismail di Universiti Tehran sebelum diarak untuk diberikan penghormatan di Dataran Azadi sebelum dibawa ke lapangan terbang untuk diterbangkan ke Qatar.
Di pusat bandar Tehran, ribuan orang ramai yang berkabung membawa sepanduk memaparkan gambar Ismail dan bendera Palestin sebagai tanda sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.
Kematian Haniyeh diumumkan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada Rabu yang memberitahu Ismail dan seorang pengawal peribadinya terbunuh dalam satu serangan udara di kediamannya di ibu negara Iran pada jam 2 pagi.
Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Israel menyasar dan membunuh komander tertinggi Hizbullah, Fuad Shukr dalam serangan balas di ibu kota Lubnan, Beirut.
Israel tidak memberikan sebarang komen mengenai pembunuhan itu tetapi selepas serangan pada 7 Oktober ke selatan Israel, yang diketuai oleh Hamas dengan 1,139 orang terbunuh, pegawai Israel berjanji untuk membunuh Ismail dan pemimpin Hamas yang lain sebagai sebahagian daripada matlamat untuk menghancurkan kumpulan pejuang Palestin itu.
*Kredit foto: FB Shamsul Anuar Nasarah
Comments