Ketidakhadiran pemimpin utama peringkat nasional Pas membantu kempen Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu mencetuskan panik kepada calon gabungan itu.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil mendakwa, ketiadaaan pimpinan Pas bersama PN membayangkan gabungan pembangkang itu sedang menghadapi krisis besar.
"Kita nampak riak wajah pemimpin Bersatu seperti ada yang tidak kena di sepanjang kempen di sana," katanya selepas merasmikan Pusat Operasi Pakatan Harapan di Presint 11 Putrajaya malam tadi.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi sebelum ini mempersoal keberadaan pemimpin utama Pas di Perlis berbanding di Kuala Kubu Bharu ketika hari penamaan calon.
Katanya, perkara itu dilihat agak 'menarik' namun beliau tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pemimpin Pas susulan tindakan berkenaan.
Sementara itu ketika mengulas perasmian pusat operasi itu beliau berkata, ia adalah permulaan misi untuk merampas semula Parlimen Putrajaya daripada pembangkang.
"Putrajaya memerlukan seorang wakil yang bersama Kerajaan Perpaduan dan hari ini apabila turut hadir pimpinan daripada UMNO Putrajaya, ia merupakan satu titik baharu.
"Perdana Menteri bukan sahaja berjaya menyatukan parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan atas titah tuanku, malah beliau berjaya menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar kaum dan agama," katanya lagi.
Comments