Oleh: Abdullah Zaid
Dasar progresif Kerajaan Madani melaksanakan reformasi fiskal telah menunjukkan hasil dengan peningkatan kemasukan pelaburan asing dan pengukuhan nilai ringgit.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak berkata, dasar baharu Kerajaan Madani sekiranya berjaya sepenuhnya bakal menyediakan lebih banyak insentif kepada golongan yang memerlukan selepas ini.
"Reformasi fiskal kunci kepada pemulihan ekonomi negara termasuk pengukuhan nilai ringgit dan ini akan dapat meningkatkan peluang pekerjaan berimpak tinggi yang mampu menghasilkan kesan berantai melalui ekosistem yang lebih mesra perniagaan.
"Kesan ini sudah semestinya dirasai oleh semua lapisan masyarakat terutama golongan B40 dan M40 kerana lebih banyak insentif kebajikan dan bantuan bakal diberikan. Manakala golongan T20 pula dapat meningkatkan perniagaan," katanya kepada Suara Keadilan.
Dalam pada itu, Haziq membidas cadangan pembangkang yang banyak menumpukan kepada peningkatan subsidi pukal. Hal itu katanya, akan menyebabkan pelabur meninggalkan Malaysia kerana sebahagian besar kewangan kerajaan pergi kepada 'belanja hangus', berbanding pembinaan instrastruktur atau pendidikan yang bakal mendapat pulangan pada masa hadapan.
"Cara pembangkang untuk terus beri subsidi dalam keadaan negara sudah mempunyai defisit (hutang) menggunung sebenarnya adalah cara orang malas bekerja.
"Bukan kerajaan sekarang tidak beri bantuan kepada rakyat tetapi kedua-dua ini perlu bergerak seiring dengan usaha menyediakan Malaysia dengan ekosistem yang sesuai untuk pertumbuhan ekonomi.
"Apabila negara makmur, lebih banyak hasil dirasai rakyat pelbagai lapisan dengan menuai hasil sebenar, bukan sekadar berhutang berbilion-bilion ringgit setahun (untuk memberi subsidi)," ujarnya.
Untuk rekod, dasar ekonomi progresif Kerajaan Madani yang ditentang pembangkang telah menunjukkan tanda tanda kejayaan apabila pertumbuhan pada separuh kedua Keluaran Dalam Negara Kasar 2024 meningkat 5.8% dan nilai ringgit mula mengukuh daripada RM4.70 per dolar Amerika Syarikat kepada sekitar RM4.47 pada waktu ini.
Komentarze