Oleh: Akmal Manaf
Pemprosesan unsur nadir bumi (REE) tempatan yang dilombong di negara ini mungkin boleh diproses di kilang pemprosesan Lynas di Kuantan, Pahang.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad, hal itu ada dibincangkan antara Kerajaan dan Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) Australia.
Katanya, Lynas telah memberikan komitmen untuk membuka satu jaluran bagi memproses REE yang dihasilkan di negara ini.
''Kita mengatakan sebarang tindakan ini tentunya perlu mematuhi syarat-syarat alam sekitar seperti kesihatan dan keselamatan yang ketat.
''Cumanya di peringkat Lynas, mereka meminta satu tempoh lesen yang lebih panjang dan kita sedang bincang perkara itu secara terbuka untuk dinilai,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Nik Nazmi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang ingin tahu apakah kesan REE kepada Malaysia.
Jelas beliau lagi, untuk melakukan perkara itu, ianya memerlukan satu pelaburan yang besar.
Katanya, jika mereka buka dan kemudian terpaksa ditutup dalam tempoh dua atau tiga tahun, ia merupakan sesuatu yang tidak menarik.
''Bukan sahaja mereka, malah ada syarikat-syarikat seperti Super Magnet dan lain-lain yang mahu membuka kilang di negara ini.
''Buat masa ini, hasil produk Lynas di Malaysia diterima dari Australia. Kemudian kita proses dan jual kepada Vietnam, Jepun dan beberapa negara lain,'' kata Nik Nazmi lagi.
Untuk rekod, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) tahun lalu menyatakan, khazanah galian REE non radioaktif negara, berdasarkan tinjauan yang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dianggarkan berjumlah 15.2 juta tan dengan nilai pasaran semasa mencecah sehingga RM747.2 bilion (AS$182 bilion).
Bagaimanapun Malaysia memperkenalkan dasar tidak menjual REE mentah, sebaliknya diproses terlebih dahulu di dalam negara untuk memastikan nilai jualannya meningkat tinggi berbanding menjual bahan mentah.
コメント