Oleh: Akmal Manaf
Perikatan Nasional (PN) seharusnya berpijak di bumi nyata sebelum berharap mampu meraih sokongan masyarakat India pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Pulau Pinang, A Kumaresan menegaskan PN sepatutnya berhenti memainkan sentimen kaum India kerana gabungan itu amat didominasi oleh aliran perjuangan sempit berasaskan kaum tertentu.
"PN mendapati gabungan mereka sukar mendapatkan sokongan kaum Cina kerana dasar dan pendekatan PN yang tidak dapat menarik minat pengundi terhadap mereka.
"Kini PN beralih strategi untuk menarik sokongan kaum India di Pulau Pinang.
"Realitinya, adakah majoriti kepimpinan PN boleh menerima pimpinan atau parti berasaskan kaum India dalam gabungan mereka?" soal beliau dalam satu kenyataan.
Malah, Kumaresan dalam kenyataan sama 'menasihati' gabungan pembangkang itu agar berpegang kepada realiti semasa bahawa politik tanah air sudah berubah daripada sokongan kepada parti berasaskan kaum kepada parti kepelbagaian.
Katanya, pengundi bukan Melayu terutama golongan muda sudah jemu dengan politik beridentitikan kaum.
"Untuk menarik sokongan pengundi India, PN perlu menyatakan pendirian jelas berkaitan beberapa isu kritikal yang membabitkan kaum India seperti isu Sekolah Tamil, Kuota IPTA, bantuan kepada rumah ibadat, peluang pekerjaan dan juga Isu sosial ekonomi.
"Rata-rata kaum India di Pulau Pinang memberikan maklum balas positif dengan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
"Mereka lebih selesa dengan dasar dan polisi Kerajaan Negeri yang tidak mengetepikan mana-mana kaum di negeri ini," kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Kumaresan yang juga Naib Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang berkata, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan kepada kaum India di negeri berkenaan sejak era pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, bantuan itu antaranya seperti peruntukan rumah ibadat bukan Islam (RIBI), bantuan tahunan kepada SJKT dan tadika, tanah tol untuk RIBI, bantuan pendidikan melalui Wakaf Hindu (Penang Hindu Endowment Board) dan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sambutan Thaipusam dan pesta Ponggal.
Ujarnya, mungkin terdapat sedikit sebanyak ketidakpuasan masyarakat India terhadap Kerajaan Perpaduan kerana kekurangan maklumat yang sampai ke pengetahuan mereka.
"Agensi seperti MITRA dan KUSKOP menyediakan pelbagai bantuan kepada masyarakat India dari segi pendidikan, kerjaya, meningkatkan taraf ekonomi, dan bantuan perniagaan.
"Namun ada masyarakat yang memaklumkan bahawa mereka tidak mendapat maklumat atau tidak tahu cara membuat permohonan.
"Oleh kerana itu, kami di peringkat KEADILAN negeri telah mula menggerakkan jentera untuk melaksanakan program menyantuni masyarakat India.
"Program seperti outreach telah bermula dengan membuka reruai agensi Kerajaan bagi memberikan pendedahan dan maklumat mengenai segala inisiatif dan program yang dijalankan Kerajaan Negeri dan Pusat," ujarnya lagi.
Comentarios