Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dikeluarkan bukan bertujuan untuk membalas dendam terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri menegaskan pihak pembangkang sepatutnya tidak memainkan naratif membalas dendam dalam isu tersebut.
"Tidak timbul pun (soal dendam). Pasukan Petugas Khas (PPK) itu dibuat sebelum saya pun. Itu masa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Perdana Menteri, menterinya (ketika itu) Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
"Hasil penemuan dia (PPK) lebih teruk lagi. (Jadi) tak usah main (naratif dendam)," katanya dipetik selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya, Presint 11, Putrajaya hari ini.
Pada 8 Oktober 2021, Jemaah Menteri ketika itu bersetuju supaya PPK ditubuhkan untuk menyemak semula keputusan berkaitan kedaulatan Batu Puteh.
Terdahulu laporan tersebut merekodkan bahawa keputusan Malaysia untuk menarik balik semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap kedaulatan Batu Puteh telah dibuat sebelum perkara itu dimaklumkan kepada Kabinet yang diketuai Dr Mahathir pada 23 Mei 2018.
Kabinet pada masa itu hanya dimaklumkan mengenai keputusan tersebut dalam perkara "Hal-hal Lain" tanpa sebarang Memorandum Jemaah Menteri dikemukakan untuk dipertimbangkan anggota Kabinet yang lain.
Anwar menegaskan laporan suruhanjaya diraja itu berpegang kepada prinsip mempertahankan kedaulatan negara.
"Ini soal wilayah, mana boleh? Ada ke negara yang mengizinkan mudah begitu serah (wilayah)," katanya.
Semalam, ketika pembahasan usul laporan suruhanjaya diraja itu, blok pembangkang cuba memainkan isu bahawa kerajaan cuba mengenakan tindakan terhadap Dr Mahathir.
Ditanya sama ada Dr Mahathir wajar dikenakan tindakan seperti mana disyorkan dalam RCI, Anwar berkata "saya tak cadang apa-apa. Itu serah kepada Jabatan Peguam Negara."
Comentários